22 December 2024

"KEPUTUSAN BERKAHWIN HANYA DIBUAT SELEPAS MENDAPAT RESTU ANAK-ANAK & SAUDARA MARA..." - SULIZA SALAM



Penyanyi era 1980-an, Suliza Salam, 59, yang selamat bernikah dengan ahli perniagaan, Ismail A Ahmad di kediamannya di Bukit Kiara, di sini jam 11 pagi semalam, menjelaskan, keputusan kembali mendirikan rumah tangga itu timbul selepas melihat kesungguhan suami memenangi hatinya.
Majlis pernikahan pasangan itu dibuat secara tertutup dan hanya dihadiri saudara-mara dan rakan terdekat mempelai.

"Semoga mahligai yang kami ini bina ini kekal sampai ke syurga. Kami sudah lama berkenalan dan dia adalah rakan perniagaan saya. Dia kenal anak-anak dan cucu serta saya juga kenal anak-anaknya. Keputusan berkahwin hanya dibuat selepas mendapat restu anak-anak dan saudara mara kedua-dua pihak.

"Kata mereka benda baik tidak perlu nak tangguh. Lagipun, tak manis kalau orang lihat kami ke sana sini tanpa ikatan sah. Justeru, dengan restu diberi, kami mengambil keputusan menghalalkan hubungan ini," kata ibu kepada penyanyi Ismail Izzani itu.

Dalam pada itu, Suliza yang popular dengan lagu 'Untuk Sekali Lagi' ini mengakui, tertarik dengan keperibadian mulia yang ada pada lelaki itu hingga dipilih menjadi calon suami.

"Saya melihat suami sebagai seorang yang sangat bertanggungjawab dan kalau mahukan sesuatu, kita boleh nampak kesungguhannya. Setiap orang pastinya mengharapkan baik-baik untuk perkahwinan dan kami tidak terkecuali.

"Dia sudah 10 tahun menduda dan saya pula secara rasmi sudah tiga tahun bergelar ibu tunggal. Alhamdulillah, kami bersyukur dapat menamatkan zaman solo pada tahun ini," tuturnya.

Sebelum ini, Suliza pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 11 Januari 1991, namun pasangan itu tidak pernah berkongsi mengenai perceraian mereka.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nurizzati, Nur Falahi dan Ismail Izzani.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: