16 January 2026

"WINGS TERLALU KUAT JENAMANYA... JADI SANGAT RUGI KALAU DIBIARKAN 'SAYAP' ITU PATAH" - AWIE PERKENAL DUA ANGGOTA BAHARU



"Dengan adanya ahli baharu, kami mahu meneruskan perjuangan Wings yang sudah mencecah usia 40 tahun. Wings ini sebuah band yang terlalu kuat jenamanya, jadi sangat rugi kalau dibiarkan 'sayap' itu patah.

"Kami bersyukur kerana dapat anggota yang bukan sahaja berpengalaman, malah cukup dikenali dalam kalangan penggiat seni."

Itulah jelas vokalis kumpulan rock legenda, Wings iaitu Datuk Awie, dimana dia memperkenalkan dua anggota baharu bagi mengukuhkan kembali empayar muzik mereka yang sudah bertapak lebih empat dekad.

Awie menerusi sidang media Konsert Wings Orang Kita, telah mengumumkan kemasukan Pae sebagai pemain dram dan Ilham Ishak selaku pemain bes, sekali gus melengkapkan formasi lima anggota bersama Edrie Hashim dan Sham.

Menurut penyanyi berusia 57 tahun ini, demi memastikan kelangsungan Wings sebagai sebuah jenama kukuh dalam industri muzik tanah air, kehadiran dua anggota baharu itu merupakan langkah penting.

Klik untuk gambar besar

Dalam pada itu, Awie menyifatkan pertemuan mereka sebagai satu takdir ketika mengulas mengenai pemilihan dua anggota tersebut.

Difahamkan, Pae dipilih secara lantikan terus berdasarkan reputasinya sebagai pemuzik sesi yang pernah bekerjasama dengan kumpulan ternama seperti Search, XPDC dan Amuk.

Bagi Ilham pula, dia dipilih menerusi proses uji bakat selepas Awie melihat potensi besar dimilikinya walaupun masih muda.

"Ilham saya buat uji bakat. Sebaik sahaja tengok dia berdiri dan memetik gitar, saya tahu dia layak. Walaupun masih muda, dia ada kebolehan besar dalam permainan bes dan pernah menjadi pemuzik sesi untuk band-band besar," katanya.

Sementara itu, Pae berkata, dia bertekad untuk membawa identiti tersendiri tanpa membayangi pemuzik terdahulu.
"Saya takkan jadi Black, saya takkan jadi Jojet. Saya akan jadi Pae dan bawa karakter sendiri supaya Wings kekal di landasan yang betul," ujarnya.

Disamping itu, Awie mengulas mengenai hala tuju kumpulan tersebut, dimana maklumnya, Wings kini berada dalam fasa membentuk 'gelombang baharu' dan merancang untuk menerbitkan album.

Dalam usaha memantapkan kumpulan itu, Wings dengan sebulat suara melantik Edrie sebagai pengarah muzik yang akan menentukan hala tuju bunyi dan cita rasa muzik bagi album serta konsert akan datang.

"Kami bersetuju melantik seorang ketua iaitu Edrie untuk menjaga aspek muzik dan membuka sesuatu yang baharu, lebih elok dan lebih murni. Ini adalah strategi penting untuk membina empayar Wings pada masa hadapan," tuturnya.

Pada Oktober tahun lalu, peminat dikejutkan dengan pengumuman pengunduran dua anggota asal Wings iaitu pemain dram Black dan pemain bes Eddie daripada kumpulan tersebut.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: