04 March 2026

SELIMUT 'SPIDERMAN' BARANG TERAKHIR ARWAH ANAK SULUNG - AMYZA AZNAN UBAT RINDU DENGAN HANTAR MESEJ SETIAP HARI MESKIPUN TAK BERBALAS



"Reda memang sudah lama ada, cuma saya masih cuba cari cara untuk hilangkan rasa rindu itu supaya tak terlalu berat. Terlalu rindu. Kita sebagai orang Islam percaya ini adalah qada dan qadar Allah, semuanya sudah tertulis.

"Alhamdulillah dia pergi pada bulan yang baik dan mendapat doa daripada ramai orang. Itu yang sedikit sebanyak mengubati hati saya. Memandangkan rumah dekat, memang saya pergi ke pusaranya setiap hari. Itu cara saya bercakap dengan dia dan sedekahkan al-Fatihah.

"Saya kongsi video di media sosial supaya orang ramai dapat tumpangkan doa. Itu memang tujuan saya. Nak hilangkan rindu, saya akan mesej dia hari-hari walaupun tahu dia tak jawab. Setiap kali buat begitu, saya akan sedekahkan al-Fatihah juga."

Klik untuk gambar besar

Demikian luah pelakon Amyza Aznan yang sebak ketika meluahkan rasa rindu terhadap anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail, 20, selain juga berharap arwah anaknya hadir dalam mimpi seperti mana yang dialami dua lagi anaknya.

"Adrian (anak kedua) hari kedua sudah mimpi arwah. Semalam Aden pula mimpi dia, tapi saya masih belum lagi. Mestilah saya nak dia datang dalam mimpi, rindu tapi belum diizinkan lagi.

"Adrian kata arwah memandu kereta dan bawa dia bersama atuk. Aden pula kata arwah datang tengok dia tapi diam saja," tuturnya yang masih mencari kekuatan untuk menyesuaikan diri dengan kehilangan anak tercintanya yang pergi menghadap Ilahi seminggu lalu.
Ujar Amyza, meskipun dia sudah reda dengan ketentuan takdir, namun perasaan rindu yang bersarang di hati masih sukar untuk diubati, malah dia masih belum mempunyai kekuatan untuk mengemas barang-barang peninggalan arwah.

"Saya masih belum kemas barang arwah, biar sajalah dulu. Sebelum dia pergi, saya ada bawa balik baju terakhirnya untuk dicuci, itu yang lihat dia sentiasa dengan selimut 'spiderman'. Buat masa sekarang biar dululah selimut dan bantal dia," ujarnya.

Untuk makluman, Andre menghembuskan nafas terakhir pada 23 Februari lalu di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun bertarung dengan kans£r paru-paru tahap tiga.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: