11 July 2026

SELEPAS 55 TAHUN PEMERGIAN NORDIN AHMAD - LEGASI LEGENDA FILEM MELAYU KINI DIIKTIRAF, DIANUGERAHKAN GELARAN DATUK



Sempena Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, legasi legenda filem Melayu iaitu Nordin Ahmad kini diiktiraf apabila dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk secara anumerta. 

Mewakili Allahyarham menerima anugerah itu ialah anak saudaranya, Mohd Sobri Mohd Sidik, 60, di mana tuturnya, meskipun selepas 55 tahun pemergiannya, seniman tersohor itu bukan sahaja bukan sahaja mengharumkan nama Pulau Pinang, malah menjadi antara ikon terpenting dalam sejarah kegemilangan perfileman Melayu.

Dalam pada itu, Mohd Sobri berkata, anugerah itu bukan sekadar sebagai lambang pengiktirafan terhadap seorang tokoh seni berbakat besar, bahkan menjadi penghormatan tinggi terhadap legasi seorang anak Pulau Pinang yang telah mengangkat martabat seni lakon negara ke tahap membanggakan.

Klik untuk gambar besar

"Sebagai waris, saya berpandangan penganugerahan ini adalah satu pengiktirafan yang amat wajar dan bertepatan dengan jasa serta sumbangan besar Allahyarham kepada dunia seni tanah air dan kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri atas keputusan yang dibuat ini.

"Kehebatan beliau sebagai seorang pelakon berwibawa, berkarisma dan disegani telah meletakkan namanya sebagai antara ikon terpenting dalam sejarah kegemilangan perfileman Melayu.

"Sepanjang hayatnya, beliau cukup sinonim dengan watak panglima Melayu serta dialog klasik ikonik, 'kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu' menerusi filem Seri Mersing. 
"Sumbangan beliau bukan sahaja mencorakkan perkembangan industri filem tanah air malah terus menjadi rujukan dan inspirasi kepada generasi pelakon serta pengkaji hingga ke hari ini," ujarnya.

Maklum Mohd Sobri, Allahyarham adalah anak kedua daripada enam beradik dan satu-satunya adik perempuan bongsunya yang masih hidup ialah Rokiah Ahmad, 84, yang kini menetap di Kepala Batas, namun beliau tidak dapat hadir ke istiadat tersebut kerana faktor kesihatan.

Katanya, penganugerahan DSPN itu adalah anugerah gelaran Datuk pertama diterima oleh Allahyarham dan sebelum ini nama beliau pernah diabadikan di Layar Bintang FINAS pada 2001 sebagai pengiktirafan kepada statusnya sebagai bintang legenda negara. 
Disamping itu, Mohd Sobri turut memberitahu, waris dan ahli keluarga bercadang mempamerkan darjah kebesaran yang diterima Allahyarham di Galeri Karyawan Nordin Ahmad pada satu masa yang sesuai supaya dapat menjadi tatapan peminat, pengkaji dan orang ramai.

Ulasnya lagi, bagaimanapun galeri itu yang kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, dekat sini menerima sambutan baik selepas kira-kira dua tahun penubuhannya namun akses kepada orang ramai agak terhad kerana perlu mematuhi peraturan.

Sehubungan itu, Mohd Sobri berkata, waris Allahyarham berhasrat mencari lokasi galeri baharu yang lebih sesuai bagi membolehkan galeri itu dikunjungi semua lapisan masyarakat dengan akses lebih meluas dan terbuka. 
"Sekarang ini, bukan sahaja orang dulu-dulu saja yang minat, malah remaja pun dah mula mengenali Allahyarham jadi saya rasa kita perlu mencari satu lokasi lain bagi membolehkan semua lapisan masyarakat yang ingin melihat lebih dekat legasi yang ditinggalkan beliau," tuturnya.

Untuk makluman, Allahyarham Nordin dilahirkan di Kampung Kota, Permatang Pasir dekat sini pada 4 Ogos 1929, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 15 Jun 1971 ketika berusia usia 41 tahun di Hospital Besar Singapura akib@t dem@m kuning.

Allahyarham juga pengarah dan penulis skrip serta pernah berkhidmat dengan studio Malay Film Productions dan Cathay-Keris Film Productions dikenali menerusi naskhah hebat seperti filem 'Hang Tuah', 'Anak-ku Sazali', 'Semerah Padi', 'Air Mata Duyung', 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang', 'Gurindam Jiwa' dan 'Lanchang Kuning'.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: