22 July 2008

SELEPAS PENSIL, KINI SYIRIK...

Perkataan mengalah atau merasa serik dengan kegagalan lampau tidak pernah wujud dalam kamus Surenther dan M.Subash. Kutipan sekadar RM30,000 yang diperolehi melalui filem Pensil tidak langsung melemahkan semangat mereka untuk terus berkarya.

Hasilnya, kini Genius Parade Sdn Bhd (GPSB) bangkit kembali menerbitkan filem kedua yang berjudul Syirik. Majlis pelancaran filem tersebut telah dilangsungkan di Finas dalam suasana sederhana dan penuh semangat.

Menurut M.Subash selaku Pengarah Syirik, ada kejutan dan rahsia yang bakal diketengahkannya kali ini dalam filem arahan terbarunya itu. Selain itu, dia mahu agar budaya mencari keuntungan semata-mata dalam sesebuah filem dikikis dan digantikan dengan nilai-nilai murni.

"Buat apa kita nak tiru Barat, bukankah kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai nilai budaya kita sendiri? Dalam masalah ini, tujuan saya menghasilkan filem bukanlah mengejar keuntungan atau populariti, tetapi untuk memartabatkan industri perfileman kita," ujarnya.

Mengenai Syirik, filem ini mengisahkan fahaman yang diamalkan oleh beberapa individu yang sesat di dalam sebuah kampung. Pemujaan objek dan syaitan sering menjadi amalan golongan tersebut hingga mereka sering melakukan pembunuhan.

Lebih memelikkan, apabila isteri seorang bomoh yang sarat mengandung telah dibunuh dan bayinya hilang. Bukan itu sahaja, malah banyak lagi insiden-insiden pelik yang berlaku di kampung tersebut hingga menimbulkan pelbagai andaian karut.

Filem ini akan menjalani penggambaran bermula pada 25 Ogos 2008 di lokasi utamanya di Hulu Langat, Kampung Sungai Lui dan Cheras, Selangor. Kos penggambaran selama 14 hari seperti yang disusun ialah RM400,000 tidak termasuk kos promosi.

Indra Che' Muda sekali lagi telah diberikan kepercayaan untuk menghasilkan pergambaran filem Syirik dan sekaligus dilantik menjadi Penasihat.

Kesimpulannya, bagi anda yang pernah menonton filem Pensil, anda pasti tahu sejauh mana kekuatan M.Subash dan Indra menghasilkan karya mereka. Oleh yang demikian, filem Syirik pastinya bakal lebih menarik dan mampu memecahkan box office apabila siap dan ditayangkan pada awal 2009 nanti.












    (\__/)
    (='.'=)
    (")_(")
    Photo & Artikel copyright myartis 2008

No comments: