26 August 2011

JANGAN DERHAKA - KATA YUSOF HASLAM

Kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Tapi seandainya sudah berjaya, jangan pula menjadi 'kacang lupakan kulit'!

Demikian agaknya kiasan yang diluahkan oleh penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, yang mengakui secara terus-terang bahawa syarikatnya Skop Production akan rugi jika dia melepaskan anaknya, Syamsul Yusof, untuk berhijrah dengan produksi lain.

"Syamsul merupakan seorang pengarah yang kreatif dan kerana dia, Skop telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM20 juta dalam masa enam bulan menerusi dua buah filem sahaja iaitu KL Gangster dan Khurafat.

"Dari segi perniagaan, Alhamdulillah, Syamsul membawa keuntungan kepada syarikat dan sebagai seorang ayah, saya bertuah mempunyai anak sepertinya.

"Tetapi dari sudut kekeluargaan pula, saya sudah mengingatkan Syamsul dan seorang lagi anak iaitu Syafiq supaya kekallah bekerja dengan Skop," katanya dipetik sebagai berkata pada majlis berbuka puasa di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ulu Klang, Kuala Lumpur.

"Walaupun saya tahu, banyak produksi yang memberi tawaran lumayan kepada Syamsul untuk menyertai mereka, saya percaya, anak saya tetap akan setia dengan Skop dan tidak mungkin 'menderhaka' terhadap keluarga.

"Setakat ini Skop mempunyai pelbagai projek yang perlu dilaksanakan. Malah bekerja dengan keluarga adalah paling mudah kerana apa yang mereka mahu, saya beri.

"Malah dari segi masa kerja juga lebih fleksibel. Cuba kalau kerja dengan orang lain, silap hari bulan, seawal 8 pagi sudah kena ada di pejabat," ujarnya yang turut memberikan bonus iaitu 'duit raya' kepada 160 pekerja syarikat produksi berkenaan, para pelakon, termasuklah pelakon-pelakon veteran dan krew produksi.


Klik untuk imej lebih besar...







No comments: