12 September 2011

FINAS MENERIMA KETUA PENGARAH BARU



KENYATAAN MEDIA
PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA

1. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan ini ingin memaklumkan mengenai pelantikan Encik Mohd Naguib Razak, 42, sebagai Ketua Pengarah Finas yang baru. Beliau yang telahpun memulakan tugas pada 1hb. September 2011 yang lalu dilantik oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sebagai mengisi kekosongan jawatan itu setelah penyandangnya Datuk Mohd Mahyidin Mastakim tamat kontrak perkhidmatan pada 30 Jun 2011.

2. Encik Mohd Naguib bukan pendatang baru di kalangan media khususnya di kalangan warga produksi tempatan. Bahkan nama beliau juga sering muncul di pentas dan majlis bertaraf dunia sebagai pengkarya prolifik yang menampilkan kelainan tajuk dan pendekatan baru dalam produksinya.

3. Beberapa dokumentari beliau seperti Anak Duyung (Child Of Mermaid) ~ Yamagata International Documentary Film Festival 1999, The Boat-Maker and The Sea (Discovery Channel), Glass Enclosure: Tokyo Invisible ~ International Documentary Festival Amsterdam 2005 & Internatonal Film Festival Mannheim-Heidelberg 2005, Becoming A King (National Geographic Channel) & Spellbound: Crimes Of The Mind (Crime & Investigation Network) adalah antara sentuhan beliau yang telah menembusi festival-festival dan saluran penyiar antarabangsa.

4. Sungguhpun dilihat begitu sinonim dengan genre dokumentari, Mohd Naguib juga memiliki kebolehan lain di bidang filem cereka, animasi, pengiklanan, penerbitan dan penulisan kreatif. Pakej ini telah memberi kelebihan kepada beliau untuk menjadi pilihan penganjur majlis rentas sempadan sehingga ke Kanada, Itali, Jerman, Peranchis, Belanda, Sepanyol, Argentina, China, Korea dan Australia.

5. Beliau juga pernah bertugas di Asia-Broadcasting Union (ABU) dan berpengalaman mengurus majlis dan acara gemilang ABU General Assembly dan ABU Prizes Award Ceremony.

6. Mohd Naguib adalah sebahagian dari tenaga kerja perintis sewaktu ASTRO baru ditubuhkan. Beliau berkhidmat dengan stesyen Televisyen berbayar Malaysia yang pertama ini selama 4 tahun.

7. Seorang yang bersikap progresif dan berfikiran terbuka, beliau sering kali menerima anugerah dari badan-badan seni dan festival filem antarabangsa serta tempatan. Antaranya Nippon Foundation Fellowship for Asian Public Intellectuals, The Japan Foundation Fellowship (Invitation Program 2001 – 2002 dan Festival Filem Malaysia.

8. Menerima pendidikan akademik dari University of Leeds (UK), Kolej Melayu Kuala Kangsar dan St. John’s Institution, Mohd Naguib yang mempunyai latarbelakang akademik bidang perundangan, sosiologi dan perniagaan telah menyerlahkan kebolehan lain yang mengkagumkan.

9. Justeru pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Finas dilihat sebagai keputusan tepat oleh Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seiring dengan hasrat dan matlamat KPKK memartabatkan bidang penerbitan filem dan televisyen.

Artikel disediakan oleh:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KOMPLEKS STUDIO MERDEKA
JALAN HULU KELANG
68000 AMPANG SELANGOR



No comments: