24 November 2011

PENGAKUAN LISA & AARON BERLAKON OMBAK RINDU


Lisa Surihani yang memegang peranan sebagai Mila Amylia, dalam filem Ombak Rindu mengakui yang dia perlu merancang laluan kerjayanya dengan lebih berhati-hati. Ini kerana, dia sering memikirkan baik-buruk setiap keputusan yang dibuatnya dalam membina laluan kerjaya.

Ulasan Lisa itu timbul berikutan dia sedar akan adanya penonton yang kemungkinan membenci watak Mila yang dilakonkannya.

Salah satu adegan Ombak Rindu




“Buat masa ini memang saya seharusnya memilih dan tidak terlalu mengambil mudah pada setiap tawaran yang diterima. Sejujurnya sebelum ini pun terlalu banyak faktor yang mempengaruhi setiap keputusan saya. Untuk itu, selepas ini saya akan cuba tekankan pelbagai faktor sebelum membuat keputusan memilih untuk terlibat dalam sesebuah produksi," ujarnya dipetik sebagai berkata.

“Dalam kehidupan sebenar pun sememangnya wujud watak-watak yang tidak seratus peratus jahat dan tidak seratus peratus baik. Ia duduk di tengah-tengah. Mila salah satu contohnya. Dia tidak jahat tetapi dia cuma obses pada Hariz dan mengharapkan cinta dari Hariz. Itu yang membantu saya mendapatkan feel untuk watak tersebut. Saya kena faham sebenar-benarnya siapa Mila itu sebenarnya. Saya membaca novel tersebut dan juga mendapatkan pandangan dari pengarah untuk menyerlahkan lagi lakonan saya.

Lisa dan Aaron... serasi bersama


“Mila sebenarnya bukan watak antagonis keseluruhannya. Mungkin dari segi luaran penonton akan nampak sisi hitam watak tersebut tetapi dalam waktu yang sama ada sisi putih pada watak itu. Ia satu proses dan pengalaman yang menarik telah Lisa lalui sepanjang penggambaran filem ini," tambahnya.

Sementara bagi Aaron Aziz pula, dia mengakui banyak mengalirkan air mata ketika berlakon dalam filem tersebut. Ini kerana watak Haris yang dilakonkannya itu memerlukan pelbagai emosi termasuk mengalirkan air mata.

"Sejujurnya Ombak Rindu adalah filem yang paling banyak saya mengalirkan air mata dan sebenarnya tidak sukar untuk menangis kerana pengalaman berlakon dalam pelbagai watak sebelum ini banyak membantu.

"Peminat juga kalau hendak tengok sisi lain saya perlu menonton filem ini," ujarnya.

Untuk maklumat semua, filem Ombak Rindu yang diarahkan oleh Osman Ali, menampilkan Lisa sebagai Mila Amylia, wanita yang begitu inginkan cinta dari Hariz (Aaron Aziz). Pelakon lain yang turut menjayakan filem ini ialah Maya Karin, Bront Paralel dan ramai lagi.

Filem adaptasi novel ini akan mula ditayangkan kepada umum bermula pada 1 Disember 2011.


No comments: