15 December 2011

BUKAN PERGADUHAN BERDARAH - AWIE


Anda sudah baca gosip pergaduhan Awie di Langkawi yang tersebar di Blog dan laman sembang? Ceritanya bukan main 'kecoh' seolah-olah macam dalam filem 'kung fu' terbitan Hong Kong layaknya apabila melibatkan 'ahli kumpulan' yang kononnya berpengaruh.

Bagaimanapun, sudah namanya gosip apabila ia hanya disampaikan dari mulut ke mulut... dan kemudian ditokok tambah dengan 'perasa' menjadikan ceritanya sedap. Dan bila gosip ini diajukan sendiri ke empunya badan, ternyata ia hanya sekadar pergaduhan kecil yang tidak melibatkan sepak terajang atau aksi Bruce Lee!





Hal ini diakui sendiri oleh pelakon dan vokalis kumpulan Wings, Awie, yang mengatakan pergaduhannya di sebuah kelab di Langkawi pada bulan lalu kerana perbuatan provokasi individu tertentu yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya... bukan aksi sepak terajang.

Tambahnya, pergaduhan tersebut berpunca apabila segelintir pengunjung enggan menghormati permintaannya agar tidak mengambil gambar dia di dalam kelab.

"Punca pergaduhan tersebut adalah 'kecil' apabila saya enggan bergambar dengan mereka di dalam kelab. Saya beritahu kalau nak bergambar, ambil di luar kelab sahajalah tetapi mereka tidak hormat permintaan saya.

“Kerana tindakan itu mereka melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kurang enak sehingga membangkitkan perasaan marah saya,” katanya dipetik sebagai berkata.

Justuru, Awie telah menafikan dakwaan dalam sebuah blog hiburan yang mengatakan dia dipukul teruk namun mengakui ada berlaku 'pergaduhan mulut' antara dia dengan beberapa pengunjung di luar kelab itu.

"Kira-kira 30 orang telah datang untuk menyerang saya di luar kelab tetapi mereka tidak berjaya menyentuh saya dan disebabkan itu mungkin mereka lebih berang terhadap saya.

"Anda (wartawan) boleh melihat sendiri tidak ada satu lebam pun berada di badan atau muka saya, jadi laporan mengatakan saya dibelasah teruk adalah tidak benar," ujarnya merujuk pada laporan sebelum ini yang mendakwa dia dibelasah teruk oleh seorang guru Silat Bunga Kedah.

Menurut Awie, apa yang dikesalkannya ialah apabila ada pihak luar campur tangan dalam kejadian tersebut dan menganggap pihak yang menyerangnya mempunyai motif tersendiri.

"Kelab berkenaan mempunyai sekuriti yang saya yakin boleh meleraikan pergaduhan antara kami tetapi mengapa perlu melibatkan orang luar dalam kejadian itu?

"Saya tidak faham motif mereka melakukan perbuatan itu terhadap saya kerana kunjungan saya ke sana bukan untuk mencari masalah dengan sesiapa," ujarnya yang menganggap pergaduhan itu telah selesai.

Katanya masalah tersebut telah dibawa ke balai polis berdekatan namun tiada sebarang laporan polis dibuat oleh kedua-dua belah pihak.

Terdahulu ketika ditanya tujuannya ke Langkawi, kata Awie dia ke pulau itu untuk melihat sebidang tanah yang dibelinya beberapa tahun lalu. Selain urusan tanah, dia juga mendapat undangan membuat persembahan di kelab yang tercetusnya perbalahan tersebut.

Oleh yang demikian, tidak wujud dakwaan yang mengatakan dia hadir kerana mesyuarat anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) di situ. Paling dinafikannya ialah dia menghabiskan masa di kelab berkenaan bersama pengawal peribadinya sebelum berlakunya pergaduhan.

No comments: