17 May 2012

KES CERAI RITA RUDAINI: AIDIL NAFI PUNYAI WANITA LAIN


Perintah kembali taat yang dituntut oleh Aidil Zafuan Abd. Radzak di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor terhadap pelakon Rita Rudaini Mokhtar disifatkan sebagai kelakar dan macam “budak-budak” oleh Rita.

Tambah pelakon itu, dia geli hati mendengar tuntutan itu yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal kerana selama ini dia tidak pernah melanggar perintah suami ataupun membelakangkannya.

“Dia tuntut saya supaya kembali taat? Haa... memang betul-betul kelakar. Saya tergelak dengar tuntutan dia. Selama ini siapa yang tidak taat? Saya menjalankan tugas sebagai isteri dengan baik untuk dia dan anak-anak.





“Saya juga tidak pernah lari atau keluar dari rumah tetapi dia yang buat (keluar rumah) senyap-senyap dan tinggalkan saya dengan dua orang anak bersendirian,” katanya kepada media di luar mahkamah di sini, semalam.

Untuk info, dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah itu, Aidil Zafuan,25, menarik balik permohonan untuk bercerai dengan Rita atas alasan mahu berdamai selain memikirkan kebaikan kedua-dua anak mereka.

Bagaimanapun, Aidil juga dalam tuntutan nusyuz itu mahu Rita dan anak-anak berpindah dari kediaman mereka sekarang di Damansara ke rumah yang baru didiami Aidil di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini.

Jelas pemain bola sepak pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, rumah berkenaan didiaminya secara percuma tajaan ATM dan Rita perlu berpindah untuk mengelak pembaziran kerana dia perlu membayar sewa rumah teres mewah yang didiami sebelum ini.



Sehubungan itu, jika Rita gagal mematuhi permintaannya tersebut (untuk berpindah), isterinya boleh dikenakan tindakan dalam tuntutan tersebut. Namun begitu, Rita sebaliknya memberitahu, tidak ada sebab untuk dia berpindah kerana mereka pernah berkongsi suka dan duka di rumah yang didiami sekarang ini dan sudah tinggal sejak empat tahun lalu.

“Buat apa saya nak pindah? Sudah empat tahun kami tinggal bersama di Damansara. Kenapa dia tak balik rumah dan tinggal bersama saya serta anak-anak kalau dia suami yang bertanggungjawab?

"Sewa rumah sebanyak RM3,000 sebulan itu kami kongsi untuk bayar sama-sama. Bayangkan, bayaran yang separuh dia keluarkan itu pun dipertikaikan, apatah lagi nafkah anak-anak?" soal Rita dipetik sebagai berkata.

Terdahulu, Aidil menepis tuduhan kononnya dia mempunyai hubungan dengan wanita lain selepas bertindak meninggalkan rumah mereka Januari lalu seperti dilaporkan akhbar mingguan sebelum ini.

Katanya, dia tidak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana individu sebaliknya lebih menumpukan perhatian kepada kariernya sebagai pemain bola sepak.

"Tuduhan itu adalah satu dakwaan yang mengarut kerana saya tidak berlaku curang dengannya, apalagi dengan kesibukan menjalani latihan bola sepak. Saya tiada masa untuk semua itu.

"Saya berpendapat Rita menuduh saya menjalinkan hubungan dengan wanita lain berdasarkan komen yang dibuat oleh peminat-peminatnya menerusi laman sosial Twitter," ujarnya selepas prosiding mahkamah selesai.

No comments: