Satu Festival yang diberi nama Festival Seni 'Bali Beza' akan diadakan di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. Ia akan berlangsung pada 30 September ini dari jam 3 petang hingga 10 malam... masuk adalah percuma.
Untuk maklumat, Bali Beza merupakan buah idea Komuniti Frinjan untuk memperkenalkan kebudayaan alternatif Bali kepada masyarakat Malaysia. Acara ini merupakan usaha awal untuk merapatkan hubungan di antara pengkarya Bali dan pengkarya di Malaysia. Rancangan selanjutnya ialah menganjurkan 'Malaysia Beda' di Bali dengan mengundang beberapa pengkarya muda dari Malaysia.
Klik untuk imej besar...

Antara acara yang bakal berlangsung ialah Sastera Bali Beza yang merupakan diskusi sastera 'Yang Muda Yang Berontak' bersama pemuisi Frischa Aswarini (Bali) dan Rebecca Ilham (Malaysia)
Frischa Aswarini adalah seorang perempuan muda Bali yang bergelut di Komunitas Sahaja. Sebuah komuniti penggiat sastera yang anggotanya didominasi oleh perempuan. Beliau sempat dinobatkan sebagai pembaca puisi terbaik pada Poetry Slam Utan Kayu International Literary Biennale 2009 dan beberapa puisinya tersebar di berbagai di media massa lokal maupun nasional seperti Kompas, Koran Tempo, Pikiran Rakyat, dan Bali Post.
Sebagai perempuan Bali, dalam konteks prestasi dan komuniti yang digeluti, Frischa memecahkan paradigma perempuan Bali yang seringkali terjebak dalam rutinitas ritual dan mengharuskan mereka hanya bergelut dalam ruang domestik, rumah tangga. Disini dapat kita lihat tradisi dan kebudayaan yang diagungkan industri pelancongan, ternyata meminggirkan perempuan.
Frischa akan berbincang secara bersahaja sebagai perempuan, sastera dan dinamika kebudayaan di Bali. Diskusi ini akan diketuai oleh Lutfi Ishak dan turut menampilkan cerpenis tempatan, Rebecca Ilham. Pada acara ini Frischa juga akan menunjuk kebolehannya membaca puisi.

Rebecca Ilham, atau lebih mesra dipanggil 'Becky' ialah cerpenis, novelis dan juga eseis. Tulisannya mendapat tempat di pelbagai media perdana di Malaysia. Sebagai cerpenis, kumpulan cerpennya Kimono Ungu Bersulam Bunga telah diterbitkan pada 2010. Novel sulungnya 'Bumi Lestari' menerima tempat kedua dalam Hadiah Sastera Utusan. Jurutera industri minyak dan gas ini percaya bahawa sentiasa ada yang jernih dalam tradisi dan kerana itu, mahu menawarkan yang baharu dari tradisi. Selain menulis, Rebecca juga aktif dengan GLKN, dan turut menggerakkan Dialog Orang Muda dan Borak Buku.
Selain itu, turut diadakan ialah Muzik Bali beza yang merupakan konsert muzik NOSSTRESS dan pembuka pentas adalah Azmyl Yunor dan Nastia.

NOSSTRESS adalah sebuah band yang terdiri dari 3 orang anak muda Bali yang periang. Man Angga dan Guna Kupit, dua 'satria' yang bermain gitar dan ditambah dengan Cok, akan mengajak kita santai dan bergembira bersama dalam alunan lagu dan suara emas mereka. Mereka adalah sebuah band indie Bali, yang baru saja menghasilkan sebuah album, berjudul 'Perspektif Bodoh'. Sebuah album yang mengajak kita untuk tidak menganggap remeh sebuah persepektif yang seringkali dianggap bodoh atapun sederhana oleh kebanyakan orang.
Selain itu Nosstress bukan sekadar band yang hanya asyik dengan dirinya. Mereka memiliki sikap peka yang tinggi pada isu-isu alam sekitar dan pendidikan. Mereka menggunakan muzik sebagai media untuk mencerdaskan dan membebaskan perlakuan tidak adil terhadap alam sekitar. Namun pilihan genre akustik yang mereka tawarkan, membuat kita mampu menikmatinya dengan segar, tidak rumit namun tetap optimis.
Jika anda peminat filem, tayangan filem '40 Years of Silence: An Indonesia Tragedy' dan diskusi buku 'Melawan Lupa' bersama Ngurah Termana dan Roro Sawita, aktivis di Komunitas Taman 65. Filem tersebut berdurasi 86 minit dengan sarikata Inggeris. Manakala diskusi pula akan diadakan dalam Bahasa Indonesia, Malaysia dan Inggeris.

Tidak banyak yang mengetahui disebalik pesona senyum ramah orang Bali, ternyata pada tahun 1965 manusia Bali saling berbunuhan, sehingga mengorban 80 ribu nyawa. Ini jarang dibicarakan, juga tidak ada yang membuatkan tugu peringatan.
Apa yang terjadi? Mengapa ini dibiarkan atau sengaja dilupakan? Bagaimana implikasi tragedi ini pada orang Bali? Inilah yang akan kita bincangkan bersama kawan-kawan dari Komunitas Taman 65 Bali, sebuah komuniti yang aktif mempelajari tragedi ini agar tidak terulang di masa yang akan datang. Kebetulan mereka baru sahaja menerbitkan buku kumpulan tulisan mereka yang pertama, berjudul 'Melawan Lupa; Narasi-Narasi Komunitas Taman 65 Bali'.
Sedangkan filem '40 Years of Silence; An Indonesian Tragedy' adalah sebuah filem karya antropolog, Robert Lamelson, yang berusaha meneropong impak tragedi ini dalam keluarga di Indonesia. Dalam forum ini kita semua diajak belajar untuk memahami bahawasanya melupakan bererti bakal untuk mengulanginya lagi. Melupakan tragedi yang memakan korban satu nyawa sekalipun, bersiap untuk mengulanginya lagi. Apalagi tragedi yang memakan korban ribuan bahkan puluhan ribu nyawa manusia.
Begitulah rangkaian acara di Bali Beza. Sebuah acara yang mungkin bukan hanya untuk hura-hura semata, melainkan acara untuk saling belajar antara dua negara serumpun dengan cara yang serius namun santai. Jangan lupa untuk hadir kerana akan tersedia hidangan kopi dan makanan khas Bali yang tentu saja halal, disajikan langsung oleh Made Candra, seorang tukang masak yang istimewa didatangkan dari Bali, Indonesia.
No comments:
Post a Comment