02 November 2012

FILEM BARU: KAHWIN 5 BAKAL SAINGI MADU TIGA?

Selepas kejayaan filem 'Hantu Kapcai' bulan lalu, Showbiz Productions kini menghasilkan pula filem komedi berjudul 'Kahwin 5' yang bakal ditayangkan di 70 buah pawagam di seluruh tanahair mulai 27 Disember 2012.

Semuanya gara-gara kejayaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang mengetengahkan isu poligami dalam filem popularnya, 'Madu 3', kini Showbiz dikatakan tampil dengan satu pembaharuan yang segar dan menghiburkan dengan memaparkan subjek poligami sebagai sub-plot. Gabungan dinamik Usop Wilcha (Hantu Kak Limah Balik Rumah), Fizz Fairuz (Hantu Kapcai), Soffi Jikan (KL Gangster) serta barisan pelakon wanita seperti Dian P. Ramlee, Anzalna Nasir, Marsha Milan, Adrea Abdullah serta Norish Karman dijangka akan membuat penonton tak kering gusi dari mula sehingga akhir penceritaan.

Klik untuk imej besar...



Sebagai maklumat, filem ini berkisarkan tentang seorang usahawan mangkuk plastik dari Perak yang berjaya dan dikenali sebagai Dr K (Usop Wilcha) yang sudah memenuhi kuota empat isteri dari empat negeri yang berbeza iaitu Saadiah dari Selangor (Dian P. Ramlee), Sahara dari Kelantan (Adrea Abdullah), Monalisa dari Negeri Sembilan (Norish Karman) dan Mimi dari Sabah (Marsha Milan Londoh).

Kehidupan mereka sekeluarga aman bahagia sehinggalah Dr K dipengaruhi Rahim (pemandunya dan pengampu No 1 - lakonan Fizz Fairuz) membuat Dr K terjebak dengan 'skandal' bersama Farra (Anzalna Nasir) iaitu adik kepada kepala 'pailang', Cico (Soffi Jikan). Terwujudlah dilema Dr K yang dipaksa berkahwin lagi walaupun sudah cukup kuota isterinya.



"Filem ini menampilkan perspektif berbeza mengenai isu poligami. Walaupun watak Dr K di dalam filem ini agak nakal, dia sebenarnya amat menyayangi kesemua isterinya, yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Plot utamanya bermula apabila Si Miang lawan Si Pailang dan bagaimana seseorang lelaki itu harus mengambil iktibar dari sifat mata keranjangnya, yang boleh membawa padah." ujar Jaja Nadzir, Penerbit filem tersebut.

Sementara Nizam Zakaria, selaku Pengarah pula berkata, filem tersebut walaupun pada dasarnya mudah difahami dari sudut penceritaan, ianya tetap membuat penonton ternanti-nanti dari satu babak ke babak yang seterusnya. Komedi yang dipaparkan bersahaja dan 'natural' di samping menonjolkan sisi berbeza Usop Wilcha dengan watak Dr K bersama 'alter ego' nya.

"Saya amat berpuas hati dengan 'Kahwin 5' dan ianya berbeza dengan filem pertama saya iaitu 'Cinta Kura-Kura' yang telah ditayangkan pada awal tahun ini," katanya.

Untuk mendapat gambaran mengenai filem 'Kahwin 5', anda boleh layari laman You Tube ini:
http://www.youtube.com/watch?v=GXpFyMNbjpM

No comments: