16 December 2012

INFO - THE ROLLING STONES 'CROSSFIRE HURRICANE'


Kuala Lumpur, 16 Disember 2012 - Selama 50 tahun, The Rolling Stones mendefinisikan kreativiti. Kini, Crossfire Hurricane, satu dokumentari baru yang dipuji pengkritik, akan memberi peluang kepada penonton melihat secara dekat kembara seni ikon rock n'roll ini. Ia akan ditayangkan buat pertama kali secara eksklusif pada malam Tahun Baru (31 Disember jam 24:00) di Sundance Channel HD, Astro b.yond (saluran 438).

Klik untuk imej besar...



Crossfire Hurricane yang diarahkan Brett Morgen membuat penampilan sulung di Festival Filem London baru-baru ini. Diterbitkan dengan kerjasama penuh The Rolling Stones, ia menggabungkan sedutan rakaman bersejarah mereka yang kebanyakannya belum pernah ditayangkan, dan diiringi ulasan terkini Mick Jagger, Keith Richards, Charlie Watts, Ronnie Wood, dan bekas anggota Bill Wyman dan Mick Taylor. Wawancara terdahulu, persembahan langsung dan arkib berita memberikan penerbitan dokumentari ini aura bertenaga dan jujur.

Dengan gaya mengasyikkan, Crossfire Hurricane mempersembahkan kepada penontonnya perspektif segar kembara kumpulan ini daripada sekumpulan remaja yang obses dengan muzik blues pada awal 60-an sehingga diangkat menjadi legenda rock. Penonton berpeluang melihat dengan dekat peristiwa turun naik penuh lagenda kumpulan ini, dan memberikan mereka gambaran rasa menjadi sebahagian daripada The Rolling Stones sewaktu mereka keluar dari kancah penghinaan, dadah, persengketaan dan kematian dan seterusnya menjadi ikon rock n' roll utama yang kita kenali hari ini.

Dokumentari ini yang diambil tajuknya daripada salah satu lagu hit mereka, 'Jumpin' Jack Flash', menampilkan rakaman daripada jelajah-jelajah awal The Rolling Stones dan kontroversi pertama sewaktu mereka dikenali sebagai anti-Beatles, tidak disukai pihak berkuasa kerana mereka berhubung dan berkomunikasi dengan generasi mereka dengan cara yang tidak pernah dilakukan sesiapa pun sebelum ini. "Apabila kami bersama, " kata Wyman, "sesuatu yang luar biasa berlaku dan tiada siapa dapat menirunya."

Daripada luar filem, penonton sedia maklum mereka akan menonton dokumentari yang mendebarkan. Sewaktu mereka pertama kali membuat persembahan secara 'live' adalah juga kali pertama tempat yang dipilih tidak mampu menampung penonton yang hadir ke konsert mereka. Wyman masih ingat bagaimana penonton menggila dan gadis-gadis menjerit, keghairahan yang tidak terkawal itu petanda jelas sinar bintang menanti kumpulan ini.

Kekalutan dan kekecohan jelajah-jelajah awal digambarkan dengan jelas, termasuklah bibit-bibit gandingan Jagger-Richards dalam menulis lagu. Drama-drama yang melingkari kehidupan mereka turut dimuatkan, termasuklah serbuan dadah Redland, kemerosotan Brian Jones menjadi apa yang dinamakan Richard sebagai "bye-bye land," dan keganasan serta kekecewaan terhadap Festival Almont 1969.

Gaya hidup rock n' roll kumpulan ini juga dibincangkan dengan kejujuran yang luar biasa, termasuklah sewaktu album tahun 1972 mereka yang begitu berpengaruh 'Exile on Main St,' yang mengungguli carta-carta British pada masa itu dan sekali lagi 38 tahun kemudian dengan penerbitan semula edisi mewah album berkenaan. Perjuangan mereka sentiasa diancam dan kita dapat lihat bagaimana kumpulan ini bertahan dengan semangat tidak menyerah kalah mereka. "Kami mungkin jatuh," kata Richards, "tetapi kami tidak akan jatuh seperti yang kamu mahukan."

Filem ini menggambarkan evolusi The Rolling Stones - seperti dinyatakan Jagger, "daripada sebuah kumpulan yang dibenci kepada sebuah kumpulan yang disukai setiap orang": merentasi tahun 1970-an yang hedonistik kepada serbuan dadah Keith di Kanada dan jelajah penuh fenomena yang kita saksikan hari ini. Richards juga mendedahkan lagu yang memaknakan intipati penggubahan lagunya dan Jagger lebih daripada lagu-lagu lain.

Sewaktu ditanya dalam wawancara mengenai filem itu tentang perkara yang membezakan kumpulan itu dengan kumpulan-kumpulan lain, Jagger menjawab dengan bersahaja: "Ia bermula dengan reaksi kimia." Richards menambah, "Anda tidak mampu menghalang Rolling Stones, anda cuma tahu anda perlu memberi laluan apabila ia menghampiri anda". Kerancakan hidup mereka tidak pernah padam dan ia tidak pernah dirakam dengan penuh warna-warni seperti dalam Crossfire Hurricane.

Sutradara Brett Morgen berkata, "Crossfire Hurricane menjemput penonton untuk merasai sendiri kembara penuh mistik Rolling Stones daripada kumpulan tanpa nama kepada bangsawan rock n' roll. Ini bukan pelajaran akademik sejarah. Crossfire Hurricane membolehkan penonton merasai kembara Rolling Stones daripada sudut pandang unik. Ibarat perjalanan roller coaster yang beraura.

Pengedar sedunia Crossfire Hurricane adalah Eagle Rock Entertainment di London, dengan Tremelo Productions dan Milkwood Films sebagai syarikat penerbit.

No comments: