06 January 2013

INFO - ELIZA GANTI TIARA DALAM TEATER RAJA LAWAK


KUALA LUMPUR: Eliza Mustafa, pensyarah Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) diberi kepercayaan untuk membawa watak ‘Juliah’ dalam teater Raja Lawak kali ini, menggantikan pelakon asalnya Datin Seri Tiara Jacquelina. Hal ini disahkan oleh pengarah dan penulis teater tersebut, Zakaria Ariffin, selepas pengumuman pelakon bagi watak tersebut 'disimpan' semasa sidang media pada Disember lalu.

Eliza Mustafa, anak jati Negeri Sembilan ini bukan 'orang baharu' dalam dunia teater. Penglibatannya telah bermula sejak 1996 dan pernah terlibat sebagai pereka tari teater Gamat selain berlakon dalam teater Bangsawan arahan Rahman B.

Eliza Mustafa - klik untuk imej besar...



“Dalam Raja Lawak, saya memegang watak yang pernah dilakonkan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina. Ini merupakan cabaran besar kepada saya untuk membawa watak mengikut pemahaman dan cara saya sendiri selain cuba menepati kehendak pengarah,” ujar Eliza semasa sesi latihan teater Raja Lawak di ASWARA baru-baru ini.

Melakonkan watak ‘Juliah’ serta digandingkan dengan pelakon-pelakon berpengalaman seperti Jalil Hamid, Imuda dan Abon merupakan pengalaman dan peluang yang besar kepadanya. Eliza juga berharap semua pihak yang terlibat dalam pementasan ini berpuas hati dengan lakonannya serta dapat memberi persembahan terbaik semasa pementasan dijalankan nanti.



“Berganding dengan pelakon asal teater ini seperti Jalil Hamid dan Imuda pastinya membuat saya lebih teruja dan bersemangat untuk membawa watak tersebut sebaiknya,” tambah Eliza.

Sementara itu, menurut Zakaria Ariffin pula, Watak ‘Juliah’ diberikan kepada Eliza kerana pengalamannya dalam dunia teater. Dan dia juga yakin dengan kebolehan Eliza untuk membawakan watak tersebut sebaiknya.

Teater Raja Lawak ini bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 16 hingga 25 Januari ini. Teater ini merupakan produksi terbitan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA), dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ASWARA.

Tiket boleh didapati pada harga RM20, RM30, RM40 dan RM50 menerusi laman sesawang www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi talian 03-4147 8600.

No comments: