11 April 2013

ANUGERAH BIDUAN NEGARA UNTUK S.M. SALIM


Setelah sekian lama mengabdi diri dalam seni, akhirnya seniman negara, Tan Sri S.M. Salim telah diberi penghormatan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) untuk menerima Anugerah Biduan Negara di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur, semalam.

Malam penghargaan yang dikhaskan untuk penyanyi veteran itu telah membuat beliau sebak kerana dipakaikan selempang... diberi pingat, trofi, wang bernilai RM30,000 dan sijil penghargaan.




"Saya menyanyi bukan untuk mendapatkan penghargaan. Orang ingat saya pun sudah lebih daripada cukup.

"Terima kasih kerana memberi penghargaan ini," ujar S.M. Salim sambil mengalirkan air mata.

"Terlalu banyak sumbangan yang dibuat S.M. Salim sepanjang penglibatannya dalam industri seni negara.



"Anugerah ini sebagai tanda penghargaan buatnya dan berharap agar penghargaan yang diberikan kepada S.M. Salim dapat menyuntik semangat kepada karyawan muda dalam memartabatkan seni warisan dan budaya bangsa.

"Ianya sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan industri kreatif sebagai salah satu industri yang membantu menjana pembangunan ekonomi negara," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Selain S.M. Salim, pejuang irama Malaysia kelahiran Singapura, Kassim Masdor turut menerima anugerah khas Seniman Tamu Negara daripada KPKK.

Untuk maklumat, majlis penghargaan tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan I, Datuk Joseph Salang, Timbalan Menteri II, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Negara) bersama lebih 300 jemputan.

No comments: