12 April 2013

KES CERAI - NONISWARA BERSEMUKA DENGAN 'ARTIS PEROSAK'


Demi kebenaran, akhirnya pelakon Noniswara, 43, telah bersemuka dengan seorang artis wanita yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya dengan Datuk Rosman Ridzwan. Menurut Noniswara, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, dia kini terpaksa melalui perbicaraan kes tuntutan cerai.

"Sebelum bertemu dengan wanita berkenaan saya ada bercakap dan berbalas SMS dengannya bagi membincangkan perkara yang melanda dalam rumah tangga saya sehingga ia membawa kepada kehancuran.




"Bagaimanapun dia tidak mengakui perbuatan dan kesilapan yang telah dilakukannya," jelas Noniswara kepada media di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur semalam.

Tambah pelakon itu, dia tidak mahu mendedahkan siapakah dalang tersebut kerana yakin segelintir pihak sudah tahu siapakah orangnya yang menyebabkan mahligai yang dibina dengan suaminya Rosman sejak 1 Ogos 2009 runtuh.



"Rasa-rasanya tidak perlu saya sebut siapa wanita berkenaan kerana rasanya semua orang sudah tahu. Tidak perlu saya memburukkan keadaan sekarang.

"Sebelum ini saya tidak berhasrat untuk bercerai selepas mengetahui kehadiran orang ketiga itu dan berharap suami saya akan kembali ke pangkal jalan.

"Namun apabila masalah itu berlarutan sehingga beberapa bulan, saya mendapati tiada penyelesaian yang mampu menyelamatkan perkahwinan kami selain membuat keputusan untuk bercerai.



"Saya hadir ke mahkamah kerana sudah bersedia untuk kembali hidup sendiri," katanya yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya, sementara Rosman pula memiliki lima anak hasil perkahwinan terdahulu.

Terdahulu, dalam perbicaraan semalam, Noniswara memberitahu mahkamah suaminya enggan hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan kes penceraian mereka dan gagal dihubungi bagi menyerahkan surat saman berkaitan permohonan cerai yang difailkan sebelum ini.

Dalam kes itu, Noniswara diwakili oleh peguam syarie, Datuk Amli Embong.

No comments: