09 May 2013

PERUBAHAN WAJAH - SHARIFAH AINI NAFI GUNA BOTOKS


Steroid adalah punca penyanyi Datuk Sharifah Aini, 59, berubah wajah berbanding dahulu terutamanya dibahagian pipi, dagu dan bibir . Hal ini didedahkan sendiri oleh penyanyi tersebut yang menafikan ada mengguna suntikan botoks untuk kelihatan lebih muda.

Pengambilan steroid secara berterusan itu katanya ekoran beliau mengalami jangkitan paru-paru enam bulan lalu. Oleh yang demikian, dakwaan yang mendakwa beliau menyuntik wajah disifatkannya sebagai tuduhan liar kerana ia adalah kesan ubatan lain.

Klik untuk imej besar...



"Memang muka Kak Pah kelihatan berisi dan mengembung kerana kesan daripada pengambilan steroid yang akan menyebabkan muka jadi ‘sembab’ dan bukannya kerana membuat apa-apa suntikan botoks ataupun lain-lain.

"Sebelum ini keadaan muka Kak Pah kelihatan lebih bengkak berbanding sekarang kerana pengambilan hampir 80 miligram steroid tetapi ia sudah beransur surut kerana pengambilan ubat tersebut telah dikurangkan kepada 5 miligram sahaja," jelasnya pada media semalam.

Dakwa penyanyi itu lagi, wajahnya kelihatan jauh lebih muda daripada usia kerana beliau mengamalkan penjagaan kulit sejak berusia 18 tahun.

"Orang mungkin mempertikaikan perkara itu, tetapi amalan saya yang menjaga wajah sejak muda banyak membantu dan memberi kesan kepada usia sekarang," dakwanya.

Terdahulu, beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila ada pihak yang cuba memfitnahnya dengan menyebarkan berita tidak benar tentang perubahan wajahnya itu. Kata penyanyi itu, dia berharap tiada lagi pihak yang akan buruk sangka dengan pendedahan terbarunya ini.

"Orang tidak tahu cerita, mereka mula menuduh perkara yang mereka sendiri tidak tahu keadaan sebenar. Tidak baik buruk sangka terhadap orang lain," ujarnya.

No comments: