24 July 2013

DATIN UMI KALTHUM KEMBALI KE RAHMATULLAH


Dunia seni kehilangan sebutir lagi bintang berbakat besar apabila Seniwati Datin Umi Kalthum, 81, meninggal dunia di kediaman anak sulungnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur jam 4.00 pagi tadi.

"Ketika kakak saya bersiap untuk bersahur, kakak pergi kejutkan ibu di dalam bilik dan mendapati dia sudah meninggal dunia," kata anak Allahyarham, Noorkumalasari.




Tambahnya, Allahyarham tidak menghidap apa-apa penyakit kritikal dan beliau masih cergas walaupun sudah mencecah usia 81 tahun.

"Semasa saya berjumpa dengannya, saya bawakan dia sambal bilis dan kami sempat berborak sambil gelak katawa.

"Tiada apa-apa perubahan terhadap dia sehinggalah dia meninggal dunia pada hari ini," ujarnya.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, Hulu Klang, sebelum solat Zuhur.

Untuk info, semasa hayat Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin, beliau telah berlakon lebih 20 filem, antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.

Hasil perkahwinan dengan Allahyarham Datuk S Roomai Noor, beliau meninggalkan lapan orang anak, termasuk pelakon, Noorkumalasari, serta 22 cucu dan seorang cicit.

Seorang lagi anak Allahyarham ialah penyanyi Anita Sarawak hasil perkahwinan pertama S Roomai Noor dengan seniwati Siput Sarawak.

Al-Fatihah.

No comments: