20 August 2013

FATAMORGANA - DRAMA BERSIRI PERTAMA AQUILA EMAS


Buat julung kalinya, Aquila Emas Sdn Bhd telah diberikan kepercayaan oleh pihak RTM untuk menerbitkan sebuah drama TV bersiri yang berdurasi 1 jam sebanyak 13 Episod. Aquila Emas telah menerbitkan beberapa rancangan majalah TV dan telemovie untuk siaran RTM sejak beberapa tahun yang lalu.

‘Fatamorgana’ menceritakan tentang persahabatan, cinta, impian dan cita-cita antara sepasang kanak-kanak berusia 10 tahun yang membesar bersama di sebuah desa. Keakraban mereka seumpama perhubungan dua beradik. Ilham dan Dalila begitu akrab hingga tidak boleh dipisahkan lagi antara satu sama lain. Minat, hobi serta aktiviti harian mereka hanyalah satu iaitu – menyanyi.

Klik untuk imej besar...



Sementara ibu bapa mereka membanting tulang mengerjakan tanah sawah, anak-anak ini bernyanyi di tepi sawah. Sawah bendang dan ibu bapa mereka sebagai penonton setia mereka. Bagi kedua ibu bapa Ilham dan Dalila, mereka beranggapan itu hanyalah minat anak-anak yang masih mentah yang mungkin agak terpengaruh dengan media hiburan khususnya televisyen yang saban hari ditonton oleh anak-anak mereka.

Apabila tamat peperiksaan SPM, Dalila mengajak Ilham ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib dalam pertandingan mencari bakat baru. Pada mulanya, Ilham menolak kerana ditegah oleh kedua ibubapanya. Namun atas sifat kasih dan sayang kepada Dalila, Ilham menurut kata hati dan membawa Dalila ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan kedua ibubapa mereka. Ibubapa Ilham menyalahkan keluarga Dalila kerana Ilham lulus SPM dengan cemerlang tetapi mensiakan masa depannya disebabkan Dalila. Bermulalah episod keretakan hubungan dua keluarga disebabkan perbuatan anak-anak mereka.

Di Kuala Lumpur, mereka terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan, namun begitu Ilham dan Dalila bernasib baik kerana dipertemukan dengan Makcik Sherry. Makcik Sherry memberi galakan kepada mereka untuk menggapai impian dan cita-cita. Malangnya hanya Dalila yang berjaya terpilih untuk menjadi penyanyi rakaman, manakala Ilham terumbang ambing antara perasaan kasih, cinta, impian dan cita-cita untuk terus bersama Dalila.

Jadual harian Dalila semakin hari semakin padat sehingga Ilham merasakan dirinya sudah dibuang dari kamus hidup Dalila. Akhirnya, Ilham mengambil keputusan untuk pulang ke kampung, kembali ke dunia realiti dan meninggalkan dunia fantasi. Nasib Ilham mula berubah setelah dia berkenalan dengan Syamir, seorang pemuda yang mencari rezeki dengan menggesek biola di jalanan tetapi rupanya anak kepada seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Apakah kesudahannya yang berlaku dalam perjalanan hidup Ilham dan Dalila? Bagaimana pula dengan hubungan persahabatan diantara kedua ibubapa mereka? Apakah yang terjadi kepada Makcik Sherry serta individu-individu lain yang melingkari kitaran perjalanan hidup Ilham dan Dalila?

Semuanya akan dirungkai dan terjawab di dalam drama TV bersiri ‘Fatamorgana’ (13 episod x 1jam) terbitan Aquila Emas Sdn Bhd. Antara barisan pelakon dan krew produksi yang terlibat di dalam drama TV bersiri ‘Fatamorgana’ adalah seperti berikut:-

BARISAN PELAKON
  • DALILA :  MARDIANA ALWI
  • ILHAM :  BIL AZALI
  • AZLAN :  NAMRON
  • FATIMAH :  ANNE ABDULLAH
  • SHUIB :  HARYANTO HASSAN
  • NORAINI :  LIZA ABDULLAH
  • TUAN ASHRAN :  DATO’ JALALUDIN HASSAN
  • SYAMIR :  RIAZ SOPIAN
  • YUSOF :  RAJA AZREY RAJA KAMARUZAMAN
  • GINA :  AIRIS YASMIN
  • AUNTY SHERY :  FAZLINA DATO’ AHMAD DAUD
  • SONIA :  ZYRA SABRI

  • No comments: