21 August 2013

INFO TERKINI - MOJO RAKAM LAGU 'VIKINGDOM'


Selepas tampil dengan single hit pertama mereka pada bulan April 2012 yang berjudul “Andai Ku Bercinta Lagi”, MOJO yang memperkenalkan muzik rock era baru berlandaskan irama progresif kini merupakan sebuah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di arena seni tanah air.

Fenomena “Andai Ku Bercinta Lagi” bukan sahaja membawa lagu hit ini ke setiap corong radio tempatan dan serantau, malah turut menjulang nama MOJO di persada seni tanah air apabila mereka dinobatkan sebagai “Artis Baru Terbaik” di Anugerah Industri Muzik ke-19 dan seterusnya layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-25.

Klik untuk imej besar...



MOJO juga telah menempa nama di pasaran Asia melalui pencapaian mereka selaku wakil Malaysia di edisi ketiga Hong Kong Asian-Pop Music Festival (HKAMF 2013) pada awal tahun ini. MOJO berjaya memenangi “Anugerah Persembahan Terbaik” serta mendapat tempat ke-2 secara keseluruhan di pertandingan Supernova yang membariskan selebriti terkenal dari China, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

Terbaru, “superband” yang mempertaruhkan “Synth-Rock” ini diberi penghormatan untuk menyampaikan lagu tema “Vikingdom” berjudul “Dark Clouds” sekaligus menjadi single terbaru MOJO untuk meneruskan strategi pemasaran MOJO diperingkat antarabangsa selepas kejayaan mereka di Hong Kong. Menariknya, “Dark Clouds” merupakan single Bahasa Inggeris pertama mereka turut diselitkan di dalam filem “Vikingdom” yang akan diedarkan di lebih 80 buah negara mulai September 2013 hingga Mac 2014.



“Dark Clouds” (melodi ciptaan Edry Abdul Halim serta lirik ciptaan Yusry dan Edry Abdul Halim) akan mula diedarkan secara digital di i-Tunes pada hari ini dan platform-platform digital lain sepanjang minggu ini secara berperingkat. Video Muzik “Dark Clouds” pula akan dimasukkan di dalam You Tube pada hari Jumaat (23hb Ogos 2013).

MOJO merupakan sebuah “Super-Band” di bawah naungan KRU Music yang terdiri daripada Aweera (bekas finalis OIAM), selaku vokalis utama, komposer/penerbit ternama Edry sebagai pemain synthesizer, Denny selaku gitaris dan pemain drum, Johar (bekas anggota kumpulan TILU).

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari Facebook MOJO dan saksikan secara ekslusif video muzik “Dark Clouds” terbaru daripada MOJO yang bakal dilancarkan di You Tube pada 23 Julai 2013 nanti.



Artikel ini disediakan oleh: KRU Music 

No comments: