03 October 2013

MOJO MUNCUL KEMBALI DENGAN 'ROMANCINTA'


Selepas melakar kejayaan dengan single hit “Andai Ku Bercinta Lagi”, MOJO yang memperkenalkan muzik rock era baru berlandaskan irama progresif kini tampil dengan single terbaru berjudul “Romancinta”.

MOJO, sebuah Super Band di bawah naungan KRU Music dianggotai oleh Aweera (bekas finalis OIAM), selaku vokalis utama, komposer/penerbit ternama Edry sebagai pemain synthesizer, Denny selaku gitaris dan pemain drum, Johar (bekas anggota kumpulan TILU).




Menerusi “Andai Ku Bercinta Lagi” selaku single pertama telah berjaya menjulang nama MOJO di persada seni tanah air dan antarabangsa. MOJO telah dinobatkan sebagai “Artis Baru Terbaik” di Anugerah Industri Muzik ke-19, layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-27, dan memenangi vokal terbaik di Hong Kong Asian-Pop Music Festival (HKAMF 2013).

“Andai Ku Bercinta Lagi” juga telah meraih pengiktirafan Anugerah 5 kali platinum (melebihi 1 juta muat turun bagi lagu “Andai Ku Bercinta Lagi”) daripada Recording Industry Association of Malaysia (RIM). MOJO terpilih menyanyikan lagu “Dark Clouds” lagu tema filem antarabangsa keluaran KRU Studios “Vikingdom” yang dipasarkan dipasaran tempatan dan 80 buah negara luar mulai 12 September kaku.



”Romancinta” membawa maksud perasaan romantis di dalam cinta atau merasa cinta di dalam hati. Lagu dan lirik ciptaan Edry ini berkisarkan tentang keperitan seseorang selepas kehilangan cinta sejati, namun tetap setia menunggu cinta agungnya untuk kembali lagi.

“Liriknya amat mendalam dan menyentuh jiwa, 'Romancinta' merupakan sebuah lagu yang memberi cabaran kepada saya dari segi vokal dan ianya disampaikan dengan penuh emosi ketika sesi rakaman . Kami bersepakat memilih 'Romancinta' sebagai single kedua dan kerana yakin dengan kekuatan lagu tersebut yang bakal menyaingi 'Andai Ku Bercinta Lagi'," kata Aweera.



Sejajar dengan rangka promosi yang menyeluruh untuk single “Romancinta”, KRU Music telah membelanjakan kos melebihi RM60,000.00 untuk muzik video lagu tersebut yang diarahkan oleh pengarah muda Waan Hafiz.

Selain persembahan mantap MOJO, muzik video “Romancinta” turut menampilkan pelakon popular Amar Asyraf yang membawa watak pemuda kecewa dengan kecurangan cinta. Muzik video “ Romancinta” akan dilancarkan secara rasmi di YouTube penghujung bulan Oktober nanti.



Istimewa bagi peminat setia MOJO, “Romancinta” boleh didapati di dalam EP kedua MOJO yang dipasarkan mulai 20 September lalu. Berkonsepkan Ruby iaitu bertemakan warna merah EP ini turut memuatkan dua buah lagu “Dark Clouds” lagu tema filem antarabangsa Vikingdom, serta dimuatkan versi instrumental.

EP tersebut juga turut diedarkan secara digital di i-Tunes dan platform-platform digital, juga pembelian secara online di Facebook United Studios dan bagi pasaran fizikal boleh di dapati di semua cawangan Rock Corner, Muzik Valley dan Speedy.

No comments: