09 June 2014

ATAI KECEWA LAGUNYA BELUM 'TEMBUS' RADIO



Meskipun mempunyai pertalian darah dengan Allahyarham Dato' Sudirman bin Haji Arshad, namun Atai atau nama sebenarnya Razman Azrai Zainuddin, masih kecewa apabila lagu-lagunya masih belum mampu menembusi corong radio di Malaysia.

"Saya tidak tahu mengapa mereka (radio) tidak menyiarkan lagu-lagu saya. Buat masa ini saya hanya mampu bersabar menanti perkembangan yang lebih baik. Harap-harap mereka akan pertimbangkannya nanti," ujar Atai ketika ditemui myartis.com di Sri Pentas, TV3, bandar Utama, baru-baru ini.





Bagaimanapun, Atai tetap bersyukur kerana masih ramai pihak yang menjemputnya untuk membuat persembahan seluruh negara. Semua itu dianggapnya sebagai dorongan untuk dia terus berjuang bagi menyambung usaha Allahyarham Sudirman yang mahu dia aktif dalam bidang seni.

terdahulu, Atai yang kini mahu memberikan tumpuan penuh dalam nyanyian tidak pernah memperdulikan cakap-cakap segelintir pihak yang menuduhnya mengambil kesempatan atas populariti Allahyarham Sudirman.



"Memang ada yang memberi sokongan, tetapi ada juga yang menuduh saya mengambil kesempatan. Namun itu semua tidak akan mematahkan semangat saya.

"Sebab kalau difikirkan secara waras, sebelum ini kerjaya saya sudah agak stabil dan saya sudah boleh hidup mewah. Tetapi atas sebab ingin menyambung apa yang diajar dan diamanahkan oleh Arwah, saya akhirnya mengambil risiko meninggalkan kerjaya saya untuk berkecimpung sepenuh masa dalam nyanyian.

"Bukan apa, hanya Atai sahaja yang tahu apa arwah mahu kerana Atai pernah hidup bersamanya satu ketika dahulu. Oleh yang demikian, selagi ada jalan, Atai akan lakukan yang terbaik untuk menyambung tradisi seni keluarga kami," jelasnya.


         ________________________


No comments: