17 July 2014

SAKIT, UZUR & TAK BERDAYA - YAZID SEARCH TAK MAHU SUSAHKAN SESIAPA



Teman ketawa senang dicari, teman menangis seorang diri. Pepatah ini sememangnya sering kali dihadapi oleh ramai insan yang kadangkala diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai ujian.

Hakikat tersebut turut dirasai oleh pemain drum kumpulan Search, Yazid Ahmad, 52, yang kini mengidap penyakit kegagalan buah pinggang. Walaupun sudah hampir enam tahun dia menderita, namun dia tetap tabah tanpa mahu menyusahkan sesiapa.

"Sekarang ini kalau saya bercakap sedikit mesti cepat penat dan akan batuk tanpa henti," ujar Yazid ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama Clixster Mobile yang diadakan di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, kelmarin.

Yazid sebelum ini dan sekarang - klik untuk imej besar




Dia yang kelihatan agak uzur telah ditemani oleh dua anaknya. Lebih menyedihkan, wajah Yazid juga kelihatan susut dan dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat kerana sakit di bahagian belakang.

"Alhamdulillah, syukur apabila masih ramai yang bermurah hati dan tampil membantu mengurangkan beban dan tidak kurang juga sentiasa memberikan kata-kata semangat dan sebagainya.

"Sampai satu peringkat saya tidak mahu menyusahkan mereka dan saya menjadi seorang yang suka mengasingkan diri daripada orang lain," katanya dengan nada sebak sambil menitiskan air mata.

Ketika aktif bersama Kumpulan Search


Untuk makluman, Yazid memerlukan sekurang-kurangnya RM2,800 setiap bulan untuk menampung kos rawatan hemodialisis sebanyak empat kali sehari selama empat jam.

"Setakat ini Alhamdulillah duit simpanan dan bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan membolehkan saya membayar kos rawatan tersebut tetapi saya tidak boleh selamanya menyusahkan mereka.

"Jika kesihatan mengizinkan saya ingin meneruskan projek Drum Clinic Tour bagi mengajar pelajar sekolah bermain drum dengan betul dan hasil daripada program tersebut dapatlah saya buat belanja perubatan," ujar Yazid dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, Yazid kini lebih tabah dan menganggap penyakit buah pinggang yang dihidapinya itu sebagai satu bentuk penyucian dosa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Tambahnya, dia reda dengan dugaan yang diberi oleh Allah SWT.

"Dulu saya tertanya-tanya juga kenapa saya perlu menanggung penderitaan ini tetapi saya sedar ini adalah ujian dan sentiasa minta dikuatkan iman untuk meneruskan kehidupan dan melawan penyakit ini.

"Ia bukan mudah tetapi setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmah disebaliknya dan saya perlu tabah mengharungi penyakit ini," katanya.


         ________________________


No comments: