13 July 2014

SANA SINI - SEKITAR MAJLIS BERBUKA PUASA SUNGEI WANG PLAZA



30 remaja dari Rumah Amal Cahaya Tunku Ampuan Rahimah, Subang Jaya telah dijemput khas untuk berbuka puasa di Sungei Wang Plaza baru-baru ini sempena Majlis Perasmian Zapin Aidilfitri yang dianjurkan selari dengan sambutan Hari Raya tahun ini dari 9 Julai – 3 Ogos 2014.

Turut hadir ialah artis-artis undangan iaitu Marsha Milan Londoh, Sabhi Saddi dan Azhael AF13. Artis tersebut kemudian telah mempersembahkan lagu-lagu terkini mereka serta lagu Hari Raya di samping berbuka puasa dengan tetamu.





Antara lagu yang dipersembahkan ialah 'Menjelang Hari Raya', 'Lebaran' dan 'Hari Raya Hari Bahagia'.

Untuk info, Rumah Amal Cahaya Tunku Ampuan Rahimah atau lebih dikenali sebagai RACTAR merupakan pusat kebajikan untuk anak-anak yatim perempuan. Objektif utama pusat ini adalah untuk membantu membawa sinar baru dalam kehidupan insan-insan yang kurang bernasib baik dengan mengusahakan sedaya mungkin segala keperluan yang diperlukan mereka dari segala segi samada keperluan lahiriah mahupun rohaniah. Pusat ini diuruskan oleh En Dzulkarnian Mansor.

"Saya sangat seronok kerana dapat berjumpa dengan artis-artis serta dapat duit raya dan dapat makan-makan," kata salah seorang anak yatim iaitu Siti Nabilah.

"Kami amat suka dengan persembahan tarian yang dipersembahkan oleh artis-artis dan penari. Kami juga amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Sungei Wang Plaza atas jemputan ini," demikian pula kata Prof Dr Nasfiah Mohd yang merupakan pengiring anak-anak Rumah Amal Cahaya.

Sementara itu, kata KK Lim, Pengurus Kanan, Pemasaran dan Komunikasi Sungei Wang Plaza, pihaknya amat berbesar hati mengadakan Majlis Pelancaran Zapin Aidilfitri bersama anak yatim dan artis-artis undangan.

"Kami berharap tetamu jemputan khas kami dari Rumah Amal Cahaya Tunku Ampuan Rahimah teruja dan gembira dengan kehadiran artis yang telah membuat persembahan secara 'live' dan meluangkan masa bersama untuk berbuka puasa," tambahnya.


GAMBAR: KLIK UNTUK SIZE BESAR







         ________________________


No comments: