21 November 2014

PUNYAI 6 ANAK - KAHWIN ANTARA PUNCA AMELINA 'GHAIB'



Jika tidak kerana gambar kandid yang kami siarkan baru-baru ini mengenai Amelina, pastinya penyanyi dangdut itu terus menghilang dari persada seni.

Bagaimanapun, kandid itu seolah satu penyelamat apabila kehilangan penyanyi Amelina dalam dunia hiburan menjadi perhatian media kini. Malah dalam temubual terkini, Amelina turut mengakui perkahwinannya sekitar 1999 menjadi punca dia meninggalkan bidang nyanyian.

"Saya akui berkahwin adalah antara alasan saya meninggalkan dunia nyanyian dulu. Tetapi kembali aktif selepas 15 tahun, saya lebih selesa untuk membiarkan ia menjadi satu kisah peribadi yang tidak dikongsi dengan sesiapa.

Gambar kandid yang menjadi 'viral' mengenai Amelina




"Namun untuk saya terus hidup dalam kisah silam adalah sesuatu yang 'membunuh' secara perlahan. Justeru saya kuatkan hati, bulatkan tekad dan lupakan segala kisah itu untuk terus hidup dan memandang ke depan," ujarnya kepada media.

Untuk info, Amelina kini akhirnya tampil bernaung di bawah Wake The Baby Records Sdn Bhd dan bakal menghasilkan single yang bakal menjadi pengenalan kepada kemunculannya semula.



Namun begitu, dia tetap enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai kisah perkahwinannya yang terus menjadi persoalan. Kata Amelina, dia kini bahagia kerana mempunyai enam cahaya mata.

Namun disebabkan perasaan rindu untuk kembali menyanyi dan merakamkan lagu terlalu tinggi, dia kini nekad melupakan apa saja alasannya mengenai 'kehilangannya' sebelum ini.

"Semua yang pernah berlaku sebelum ini adalah satu proses kehidupan yang banyak mengajar saya menjadi individu yang jauh lebih tabah, kuat dan bersemangat.

"Kehilangan saya adalah sesuatu yang begitu peribadi untuk saya kongsikan secara terperinci. Tapi cukup jika saya katakan ia pengalaman yang tak mungkin saya lupakan," jelasnya dipetik sebagai berkata.

Mengulas mengenai spekulasi yang kononnya Amelina sudah bertudung, kata penyanyi itu, dia belum lagi bertudung penuh tetapi terpaksa mengenakan tudung bagi mengelak orang ramai mengenalinya.

"Saya tidak yakin dan malu untuk muncul di khalayak ramai lebih-lebih lagi dengan mana-mana pihak mengenali saya. Tapi sekarang adalah masa paling sesuai untuk saya muncul dengan penampilan baharu selepas menyusun dan merencana langkah dengan teratur," tambahnya.



         ________________________




No comments: