23 January 2015

KES VIDEO ZAMANI - ANGGOTA POLIS YANG RAKAM DIKENAL PASTI



Sudah dikenal pasti!

Demikian kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat mengenai penyebaran video bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, 43, yang ditahan atas kesalahan dadah.

Sehubungan itu, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin seterusnya dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.





"Di samping itu, polis juga masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti pegawai dan anggota lain yang terlibat sama dalam menyebarkan video berkenaan," ujarnya dipetik melalui Utusan Malaysia.

Tambah Abdul Samah, siasatan dalaman dari segi salah laku dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga sedang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter miliknya turut menyatakan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang merakam dan memuat naik video tersebut.

"@PDRMsia akan siasat dan ambil tindakan tegas terhadap orang yang merakam dan muat naik video Zamani nyanyi semasa bergari," tulisnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat


Untuk rekod, video pendek berdurasi 1.22 minit yang memaparkan Zamani sedang menyanyikan lagu popularnya, Gerimis Mengundang dalam kea­daan tangan bergari mendapat kecaman masyarakat selepas video tersebut tersebar dan menjadi viral di laman-laman sosial.

Zamani awalnya ditahan bersama seorang rakan wanitanya kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram dalam satu serbuan di Taman Keramat.

Dalam pada itu, pengurus kepada Zamani iaitu Johan Aziz berkata, beliau akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungajwab menyebarkan video tersebut.

Klik gambar untuk size besar


"Penyebaran video itu benar-benar mengaibkan Zamani, ditambah pula penahanannya akibat penyalahgunaan dadah.

"Saya tidak tidur malam selepas melihat rakaman video itu dan saya akan bertindak terhadap pihak berkenaan agar perkara yang sama tidak akan terjadi.

"Mustahil video itu dirakam oleh orang awam kerana seseorang suspek yang ditahan polis perlu dibawa ke lokap untuk proses siasatan dan ia tentulah di bawah pengawasan anggota keselamatan.

"Semasa saya berjumpa dengan Zamani semalam (Rabu) dia tidak menceritakan mengenai rakaman itu sebaliknya dia meminta saya sampaikan kepada peminat, dia memohon maaf atas perbuatannya," katanya kepada mStar Online semalam.

Datuk Freddie Fernandez


Selain Johan, pihak yang turut meluahkan rasa kesal mengenai isu ini ialah Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez.

"Video itu benar-benar menghina Zamani dan pihak keselamatan seharusnya menunjukkan contoh yang baik dalam menjaga suspek yang ditahan.

"Saya sudah melihat video itu dan saya benar-benar kesal dengan apa yang telah berlaku," ujarnya.


         ________________________




No comments: