24 August 2015

GAGAL PEROLEH RM350 RIBU - SUKI KEMUKA SAMAN ULANGAN



Bekas juara rancangan TV realiti-nyanyian pertama Malaysia yang menawarkan sejuta Ringgit, Suki Low terus memperjuangkan haknya apabila beliau sekali lagi mengheret bekas pengurusannya ke muka pengadilan untuk mendapatkan kembali wang berjumlah lebih RM350,000 yang pernah beliau ‘laburkan’ untuk kerjaya nyanyiannya dengan sebuah syarikat rakaman tempatan.

Ini kerana, dakwanya syarikat tersebut bukan sahaja gagal mengembangkan kerjayanya seperti yang telah dijanjikan tetapi juga menamatkan operasi untuk mengelak daripada mengikuti perintah mahkamah yang mengarahkan mereka untuk mengembalikan wang tersebut.





Sehubungan itu, penyanyi tersebut sekali lagi telah memfailkan saman terhadap dua orang bekas pengarah syarikat pengurusannya iaitu Chan Tak Wai dan Wong Yoke May dari Galaxy Music Sdn. Bhd.

Low turut memfailkan saman terhadap Lee Nai Kong, Toni Lim Phaik See, Hotshot Entertainment Sdn. Bhd. serta Suriati Talib yang dikatakan terlibat dalam isu yang sama. Dalam kenyataannya, Suki menyaman kesemua pihak tersebut di bawah Seksyen 304 Akta Syarikat 1965 atas tindakan pihak tersebut yang telah menipu beliau berkaitan kes Mahkamah Tinggi pada tahun 2012 sewaktu beliau memenangi tuntutan terhadap pihak Galaxy.

Suki mendakwa bahawa walaupun dia telah memenangi tuntutan saman sebanyak RM367,575.17 dengan kos RM30,000.00 dari Mahkamah Tinggi dan RM20,000.00 di Mahkamah Rayuan, beliau masih belum dapat menikmati jumlah wang tersebut kerana penggulungan syarikat Galaxy pada tahun 2013.

Dalam kenyataan tuntutannya, Suki mendakwa penggulungan syarikat Galaxy gara-gara oleh sebuah syarikat yang bernama Hotshot Entertainment, telah dilakukan sebagai satu penipuan untuk mengelak pihak Galaxy daripada membayar hutang tuntutan kepada Suki.

"Tindakan Chan Tak Wai, Wong Yoke May, Hotshot Entertainment dan Suriati telah berpakat secara sulit dalam keadaan saling mengetahui dan sengaja dengan tujuan untuk menipu," demikian kata Suki.

Suki kini menuntut keseluruhan jumlah tuntutan berserta kesemua kos, faedah dan ganti rugi am daripada semua pihak terbabit. Beliau telah memfailkan saman melalui peguamnya Raj, Ong & Yudistra.

Suki juga telah memfailkan aduan salahlaku profesional kepada Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam tahun lalu terhadap pihak guaman Galaxy Music iaitu Datuk Ricky Tan Seng Cheong dan Marcus Tan Seng Peng dari Tetuan Ricky Tan & Co. Kes telah didengar oleh jawatankuasa disiplin 21 Ogos 2015 dan akan bersambung lagi pada 6 October 2015.

"Kami mengambil serius tindakan pihak seperti ini yang memberikan janji kepada artis dan kemudian gagal mengotakan janji, khasnya selepas memperolehi jumlah wang yang besar daripada artis tersebut. Ini bukan kes pertama, tapi kami memberikan sokongan dan keyakinan kepada Suki dalam perjuangannya menuntut keadilan," ujar Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez.


Sumber: Jasmine Lee - First Love Records



         ________________________




No comments: