16 October 2015

"BELUM REZEKI SAYA UNTUK MASUK GEGAR VAGANZA TAHUN INI" - MAYA MATAHARI



"Saya redha dengan apa yang tertulis. Mungkin rezeki saya belum ada pada tahun ini. Siapa tahu, tahun hadapan rezeki saya masuk pertandingan ini pula," demikian kata Maya Matahari apabila beliau tidak dapat sertai Gegar Vaganza untuk tahun ini.

Maya yang terkenal dengan lagu Matahari suatu ketika dulu memberitahu dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Dia menghadiri uji bakat itu sekitar bulan Ogos lalu dan kebetulan ketika itu dia, juga sedang sibuk menjalani latihan teater Y, sebuah muzikal yang ditunda pementasannya.





"ASTRO ada maklumkan, kalau nak masukkan tahun ini pun peserta sudah ramai. Walau apa terjadi, saya tetap akan menyokong teman artis yang bertanding musim ini," ujar Maya dipetik sebagai berkata.

Difahamkan ramai artis yang menghadiri uji bakat pertandingan ini bukan hanya Maya sahaja. Namun disebabkan kuota ditetapkan terhad, ada yang terpaksa berputih mata.

Antara artis yang dimaksudkan adalah Ibnor Riza, Ani Mayuni, Salwa Abdul Rahman, Shajiry.

Impak program Gegar Vaganza yang dianjurkan pada tahun lalu sememangnya cukup hebat. Kejayaan Ayai Ilusi sebagai juara ternyata memberi perangsang kepada artis lama dan malar segar untuk bersaing dalam musim kedua kali ini.

Di tambah pula dengan ganjaran wang tunai RM100,000 yang dipertaruhkan untuk sang juara, pastinya ramai yang ingin bertanding dalam program realiti ini.

Musim kedua pada kali ini bakal menyaksikan 12 peserta berentap termasuk enam wanita. Mereka akan berentap di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam, Ahad ini.

Peserta terbabit adalah Nassier Wahab, Zul Handy Black, Acong Sweet Child, Nizam Laksamana, Amir U'kays, Ezad Lazim, Ezlynn, Siti Nordiana, Faradhiya, Haiza, Sheeda dan Azian Mazwan Safwan.

Dalam perkembangan lain, Maya memberitahu dia dan Saida Tarudin akan muncul dengan lagu duet berjudul Setia. Lagu itu dirakamkan hujung tahun lalu. Maya sebenarnya sudah lima tahun tidak muncul dengan lagu baharu.

"Single ini kira projek istimewa kami berdua. Lagu itu ciptaan Adi 6ixth Sense dan berkonsepkan balada pop. "Lagu ini tergendala promosinya kerana masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri. Saya pun perlu menjaga ibu yang jatuh sakit," jelasnya.


Sumber: BH



         ________________________




No comments: