22 October 2015

BUKAN PISTOL BETUL - AMIR UKAYS DIBEBASKAN



Dunia hiburan menjadi kecoh seketika mengenai berita penahanan bekas vokalis kumpulan Ukays, Amir atau nama sebenarnya Mohd Amir Muhammad, 44, kerana memiliki sepucuk pistol.

Tetapi petang semalam, Amir telah pun dibebaskan dengan jaminan polis dan perkara itu telah disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy.





Bagaimanapun katanya, pihak polis akan menyiapkan kertas siasatan berhubung perkara itu sebelum diserahkan kepada Peguam Negara untuk diputuskan sama ada penyanyi tersebut perlu didakwa atau sebaliknya.

Terdahulu Amir ditahan polis selepas dipercayai memilki senjata api pada kira-kira pukul 1.45 pagi Rabu.

Ketika pemeriksaan dilakukan polis menjumpai sepucuk pistol berwarna hitam yang tertera tulisan 'Walther CP99 Compact' dengan nombor siri 12L20520.



Dia ditahan ketika memberhentikan kenderaannya di tepi susur masuk ke Kampung Chubadak, Sentul dekat sini.

Dalam pada itu Amir menerusi kenyataannya kepada sebuah portal berita berkata pistol berkenaan adalah pistol mainan milik anaknya yang diletakkan di dalam kereta untuk kegunaan bagi menembak cicak.

"Saya bukan penjenayah, pistol itu hanyalah mainan untuk tembak cicak di rumah. Alhamdulillah, saya didapati tidak bersalah dan dibebaskan pada petang tadi (semalam). Saya tidak tahu menjadi kesalahan jika memiliki pistol mainan. Saya juga tidak tahu perlu memiliki lesen untuk memiliki pistol mainan.

"Tidak dinafikan, pistol berkenaan menyerupai pistol, tetapi ia hanyalah pistol mainan. Selalunya, saya letak pistol berkenaan di rumah untuk kegunaan menembak cicak, tetapi pada tengah hari semalam, anak saya membawa turun dan tertinggal dalam kereta.

"Saya tidak sempat membawa naik semula kerana bergegas ke studio untuk latihan vokal program Gegar Vaganza 2. Bagaimanapun, saya kurang bernasib baik apabila ditahan sepasukan polis ketika berada dalam kereta di kawasan letak kereta di rumah selepas pulang latihan.

Ketika berita penahanan Amir yang tersebar semalam, banyak pihak yang telah menuduhnya dengan tuduhan negatif seperti penjenayah, perompak, hisap dadah dan macam-macam lagi.

Namun Amir sudah pun memaafkan mereka yang membuat kesimpulan sendiri serta menyebarkan gambarnya ketika ditahan sehingga ia menjadi viral di laman sosial.

"Saya memberi kerjasama kepada polis kerana saya tahu saya tidak bersalah, saya bukan perompak atau penjenayah. Tiada apa yang harus saya takutkan.

"Tidak mengapalah, saya sudah maafkan. Saya tidak mahu menuduh sesiapa dan sudah melupakannya. “Saya kini sudah dibebaskan dan paling penting, pihak polis mempercayai keterangan saya.



         ________________________




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...