14 October 2015

ELFAEZA UL HAQ KINI SUDAH BERHIJAB



Alhamdulillah, tahniah diucapkan buat Elfaeza Ul Haq atau nama sebenarnya Siti Elfaeza Mohmed Ehsan Ul Haq yang kini sudah mengenakan hijab penuh.

Difahamkan, gadis berdarah kacukan Melayu dan Pakistan itu sudah mula memakai tudung sejak dua bulan lalu. Keinginannya untuk menutup aurat sudah lama, namun hanya tahun ini ia dipermudahkan.

"Tak ada alasan khusus pun kenapa saya memilih untuk bertudung. Cuma sudah lama mahu begini. Sejak lima tahun lalu. Kini saya rasa tak patut lagi menangguhkan niat ini. Apabila mula bertudung ini, dugaan itu banyak sebenarnya.

Klik gambar untuk size besar




"Banyak perubahan yang kita kena lakukan dan biasakan. Bererti banyak juga benda yang kita kena belajar. Doakan saya baik-baik sahaja ya!," ujar ElFaeza dipetik sebagai berkata.

Malah sejak belum bertudung lagi, dia sudah membataskan watak yang kurang sesuai dengan imejnya kini. Hal itu terlebih dahulu dimaklumkan pengurusnya.

"Pengurus sudah mula selektif memberikan tawaran kerja berlakon yang tak sesuai. Sekarang ini saya teruskan apa yang sudah dibataskan," jelasnya.



Elfaeza sebenarnya cukup berbakat dan namanya pernah meledak seketika sehingga dicalonkan dalam kategori 'Artis Baharu Wanita Popular', 'Anugerah Bintang Popular BH 2013' dan rezekinya untuk kategori itu tak menyebelahinya. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini namanya kembali menurun.

Hal itu memang diakui sendiri Elfaeza.

"Momentun kerjaya seni saya di Malaysia memang agak perlahan. Memang jelas. Pelbagai perkara menyumbang perkara ini termasuk saya sedar pihak produksi dan stesen TV begitu memilih pelakon yang ada. Saya sendiri juga sangat selektif. Dalam hal ini baik pihak mereka dan saya mementingkan kualiti dan piawaian.



"Mungkin juga ketika ini belum ada naskhah yang sesuai untuk saya. Kebetulan saya masih menerima tawaran berlakon di Singapura. Jadi nampak seperti saya sudah lama tak ada di Malaysia. Akhirnya juga saya melihat ini sebagai ketentuan Tuhan. Kalau ada rezeki, insya-Allah saya mahu muncul kembali dan menghangatkan persada seni Malaysia," katanya.

Jika dahulu sesiapa yang mengikuti perkembangannya di laman Instagram, dia juga antara selebriti yang aktif dengan aktiviti kecergasan. Tetapi kebelakangan ini, dia dilihat sudah jarang memuat naik gambar berkaitan aktiviti itu. Ditanya apakah dia sudah tidak lagi melakukan aktiviti itu, Elfaeza bagaimanapun menidakkannya.

"Saya masih bersenam. Apabila sibuk dengan kerja berlakon saya tak sempat nak buat semua itu. Selain itu dengan imej saya kini, tak dinafikan saya tengah menyesuaikan diri dengan pakaian bersenam yang menutup aurat. Saya tengah membiasakan diri dan berusaha untuk mencari semula momentun bersukan ini," katanya.



Mengenai perkembangan seninya, Elfaeza kini sedang melunaskan baki penggambaran drama bersiri Tanglin. Tanglin merujuk sebuah kawasan di Singapura.

"Saya mula menjalani penggambaran drama ini sejak Mac 2015. Drama ini dibikin bersempena dengan usia Singapura mencecah 50 tahun. Drama ini berdurasi 30 minit dan dalam bahasa Inggeris," tuturnya.

Di akhir perbualan, Elfaeza memberitahu dia masih berulang alik dari Singapura dan Kuala Lumpur kerana tawaran berlakon di Malaysia tetap ada.

"Rindu sebenarnya nak berlakon di Malaysia. Biasalah bila berlakon di Malaysia, rindu nak berlakon di Singapura. Perasaan itu bersilih ganti. Saya bersyukur dapat berlakon di Malaysia dan Singapura dan ia ternyata memberikan pengalaman berbeza," ujarnya.




Sumber: BH



         ________________________




No comments: