14 October 2015

LEPAS DAPAT RESTU 7 ANAK - AZIAN MAZWAN SERTAI 'GEGAR VAGANZA 2'



"Sebelum saya buat keputusan, saya tanya pendapat daripada anak-anak dan mereka semua minta saya 'makan' habis ketika pertandingan bermula nanti," demikian kata Azian Mazwan Sapuan, 39, nekad memasuki program Gegar Vaganza 2 selepas mendapat restu dan galakan daripada tujuh anak-anaknya.

Menurut penyanyi era 80-an, walaupun sudah hampir 23 tahun tidak bergiat aktif sebagai penyanyi namun keyakinannya bertambah apabila mendapat sokongan dan galakan daripada keluarga.

"Sebelum saya buat keputusan, saya tanya pendapat daripada anak-anak dan mereka semua minta saya 'makan' habis ketika pertandingan bermula nanti.

Klik gambar untuk size besar




"Keyakinan dan restu mereka membuatkan saya bersetuju untuk menyertai Gegar Vaganza dan tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas persembahan," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Bekas finalis Bintang RTM 1986 ini berkahwin dengan Mohammad Ahrar Zulkarnain, 42, pada 1995 dan dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu Mohammad Ashraf, 19, Nur Athirah Hanim, 18, Mohammad Azrail, 17, Mohammad Aqil, 15, Mohammad Amil, 13, Mohammad Adib, 10, dan Anastasia Ayra, 8.

Sepanjang kariernya, Azian sempat merakamkan tiga buah album dengan yang terakhir pada 1991 berjudul Impian.



Azian juga pernah bertanding di peringkat akhir Muzik-Muzik pada tahun 1993 menerusi lagu Rumah Kecil Tiang Seribu sebelum mengundurkan diri daripada dunia hiburan.

Dalam pada itu, Azian berkata, selepas mendapat sokongan daripada majikannya, ia menambahkan lagi keyakinan untuk dia menyertai pertandingan biarpun pada mulanya dia bimbang tugasnya sebagai kakitangan kerajaan terganggu.

Kata Azian, jadual diberikan oleh pihak Astro yang fleksibel memudahkan dia merancang latihan persembahan tanpa menggangu tugas di pejabat.



"Dua kali juga saya minta tempoh kerana ingin pastikan Gegar Vaganza tidak menggangu kerja saya di pejabat kerana saya perlu patuh terhadap peraturan ditetapkan.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar malah mendapat sokongan padu daripada majikan dan rakan-rakan sepejabat," jelasnya.

Sementara itu, Azian berkata, dia tidak terlalu memikirkan soal kemenangan sebaliknya ingin memberikan terbaik dan membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi selepas lama menyepi.

"Saya mahu berseronok dalam Gegar Vaganza nanti kerana sudah lama tidak mengadakan persembahan namun itu bukan bererti saya tidak serius sebaliknya akan bersungguh-sungguh.

"Persaingan kesemuanya sengit namun saya yakin masing-masing mempunyai cara dan keistimewaan tersendiri," katanya.

Selain Azian, 11 peserta lagi yang turut bertanding adalah Nassier Wahab, Siti Nordiana, Faradhiya, Amir (Ukays) dan Ezlynn.

Turut menyertainya ialah Acong (Sweet Child), Sheeda, Nizam (Laksamana), Haiza, Zul (Handy Black) dan Ezad Lazim.

Gegar Vaganza musim kedua akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu bermula 18 Oktober ini dari Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).



ATAU KLIK DISINI


Sumber: mStar



         ________________________




No comments: