25 October 2015

"SEBELUM BERLAKON SEMULA, SAYA MINTA IZIN SUAMI DULU" - SHARIFAH HASLINDA



Sudah lebih sedekad Sharifah Haslinda tidak muncul di arena lakonan dan terkini beliau muncul dalam drama Dhia Sofea menghiasi slot Samarinda TV3.

Drama itu arahan Rashid Sibir dan diterbitkan sebanyak 15 episod. Ia mula bersiaran sejak 14 Oktober lalu setiap Rabu dan Khamis jam 10 malam.





Drama itu diterajui Amyra Rosli dan Fadlan Hazim. Sharifah memegang watak antagonis bernama Dolly. Ironinya, Sharifah dengan Rashid Sibir bukan asing lagi kerana pengarah berkenaan pernah mengarahkan drama Salina dilakonkannya dan pernah mencipta fenomena tersendiri di TV3.

Ditanya kenapa akhirnya dia terbuka hati untuk berlakon semula, Sharifah Haslinda menjelaskan semuanya terjadi dengan izin suaminya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

"Minat berlakon itu tak pernah padam. Cuma kadang-kadang situasi dan keadaan membuatkan saya berfikir panjang. Macam sebelum ini tumpuan lebih keluarga. Untuk drama Dhia Sofea ini pun tercetus selepas Rashid mahu saya kembali berlakon dengannya. Saya cakap kepada Rashid, dia kena tanya izin suami dulu.

"Dipendekkan cerita sebelum penggambaran, saya temukan suami dan Rashid di sebuah restoran di KLCC. Malahan ketika itu, saya sendiri memperkenalkan Rashid sebagai pengarah drama Salina. Drama berkenaan memang diminatinya. Tetapi lucunya, suami saya mempersoalkan kenapa perlu diberikan watak jahat kepada saya untuk drama terbaru ini.

"Selepas diyakinkan Rashid, maka saya mendapat lampu hijau daripada suami. Selain itu, saya juga perlu mematuhi syarat suami supaya tiada babak keterlaluan dengan pelakon lelaki," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Mengikut Sharifah, selepas melahirkan anak kedua, dia pernah membintangi drama Kasih Iftitah arahan Fairuz Loy sekitar 2008. Drama itu turut dibintangi Rusdi Ramli dan Julia Ziegler.

"Selepas ini, saya tak kisah untuk berlakon lagi. Tetapi seperti biasa, semuanya perlu mendapat izin suami. Selain itu, saya juga kena tengok skrip dan watak. Kalau ada tawaran lagi selepas ini, saya mungkin akan pertimbangkan," jelasnya.

Untuk rekod, Sharifah dikurniakan empat orang anak hasil perkahwinan dengan bersama Reezal.


Sumber: BH



         ________________________




No comments: