03 November 2015

CHE TA HADIAHKAN SEUTAS RANTAI BERLIAN BUAT PUTERINYA



Semua mengetahui bahawa Rozita Che Wan atau lebih mesra dipanggil Che Ta ini sememangnya cukup dikenali sebagai antara selebriti yang gemar menjalani kehidupan mewah. Dari segi imej, kekerapan bercuti ke luar negara sehingga kepada perbelanjaan mewah buat anak-anaknya.





Pada 1 November lalu, Che Ta telah menghadiahkan puterinya, Aaisyah Dhia Rana seutas rantai leher bertatahkan berlian sempena hari lahirnya.

Ditanya mengenai harga rantai berkenaan, kakak kepada Ayu Raudhah ini enggan mendedahkannya.

"Nanti kalau sebut harga orang cakap saya riak pula. Lebih baik saya berahsia. Tak apalah, tak salah pun nak beri hadiah kepada darah daging atau orang yang kita sayang.



"Sebelum ini, saya bawa jurugambar bercuti pun orang cakap riak. Itu belum saya ada jet peribadi lagi, gamaknya lagi teruk saya dihentam itu dan ini," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Majlis hari lahir Aaisyah telah diadakan Ahad lalu di sebuah banglo mewah usang di Jalan Damansara yang kini diambil alih Rozita Che Wan dan rakan kongsinya, Afeeq.

Ia bersempena dengan sambutan hari lahir cinta hati kesayangan Che Ta dan Zain Saidin, Aaisyah yang genap satu tahun pada 1 November. Banglo lokasi acara ini diberi nama White Palace.



Difahamkan, Aaisyah turut mendapat persalinan gaun putih yang direka khusus oleh pereka terkenal Man Kajang.

"Saya rasa apabila ibu bapanya bergelar selebriti, anak pun secara tak langsung mendapat tempias. Alhamdulillah ada orang yang sudi menaja. Apabila bila ada yang menaja, tak payah keluarkan duit.

"Ini semua rezeki. Saya doakan mereka yang bermurah hati ini akan terus dimurahkan rezeki," katanya. Mengenai White Palace, Rozita memberitahu banglo itu akan menjadi lokasi untuk disewakan mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan acara tertentu.

"Tempat ini belum siap sepenuhnya. Jangka dalam bulan Januari depan, ia akan beroperasi secara total. Tempat ini boleh dijadikan lokasi untuk majlis perkahwinan, sambutan hari lahir, majlis pelancaran atau apa sahaja untuk mereka yang berminat menyewanya. Banglo dua tingkat ini ada 12 bilik, ada kolam renang dan boleh memuatkan 1000 orang," jelasnya.

Walaubagaimanapun, jelas Che Ta setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk membuat anak-anak mereka gembira, cuma apabila bergelar selebriti perkara itu diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak.

"Semua orang sayang anak dan akan buat apa sahaja demi menggembirakan buah hati mereka. Sama juga dengan saya. Saya akan buat apa yang dirasa boleh gembirakan mereka walau hanya dengan bawa bercuti, anjurkan majlis hari lahir dan hadiahkan mereka sebagai ganjaran atas kejayaan yang diperoleh anak-anak.

"Bagi saya, semua orang akan mewahkan anak-anak dengan cara sendiri. Bezanya, disebabkan saya seorang selebriti dan setiap tindak-tanduk menjadi perhatian, maka perkara ini menjadi isu besar. Walhal, ia perkara biasa. Cuma masyarakat di luar sana yang terlalu 'mengambil berat' akan perihal kami sekeluarga," katanya.



         ________________________




No comments: