24 November 2015

"KAMI TERPAKSA BALIK KAMPUNG" - BALU HARUN SALIM BACHIK



"Saya akui tertekan dan tidak mampu lagi untuk menyara hidup kami anak beranak di Kuala Lumpur, sebab itu saya ambil keputusan untuk balik kampung Isnin depan," kata Surianti Mohd Nor, 35, balu kepada Harun Salim Bachik yang terpaksa mengambil keputusan membawa diri dengan pulang ke kampung halamannya di Kulim, Kedah selepas tidak mampu menanggung sara hidup di ibu kota.





Menurut Surianti, sumber pendapatan menjual produk kesihatan Legasi Hsb tidak mencukupi bagi menampung kos sewa rumah dan anak-anak yang masih bersekolah.

"Sewa rumah sahaja RM1,500, anak-anak yang sedang membesar lagi, ini pun semua barang-barang kemas saya terpaksa digadai. Sekurang-kurangnya bila balik kampung saya akan mulakan hidup baru bersama ibu-bapa saya," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Dalam pada itu, Surianti meluahkan perasaan terkilan dan berasa dipinggirkan selepas pemergian arwah pada 8 Mac lalu.



Tambahnya, kenyataan pelawak yang juga anak didik arwah iaitu Achey dalam sebuah portal hiburan atas talian yang kononnya sering bertanya khabar keluarga mereka juga tidak benar.

"Hidup kami sempit dan lebih terkilan apabila kawan-kawan arwah menjauhkan diri kecuali Afdlin Shauki sahaja yang beri bantuan untuk persekolahan anak-anak saya.

"Saya ada terbaca kenyataan Achey baru-baru ini kononnya dia sering bertanya khabar dengan anak-anak saya, namun sebenarnya tidak pernah pun. Datang menjenguk kami pun tidak pernah.



"Dia (Achey) ada buat kenyataan yang dia sudah serah semua share perniagaan yang dikongsi bersama arwah sebelum ini kepada keluarga dan hal itu pun saya tidak tahu kerana mereka sudah removed saya dari grup perniagaan tersebut," jelasnya.

Sementara itu, kata Surianti, dia pernah memohon untuk berniaga di karnival-karnival yang dianjurkan oleh pihak tertentu atas tiket isteri artis tetapi tidak dilayan.

Katanya, perkara tersebut membuatkankan dirinya semakin tertekan dan rasa tersisih dari masyarakat.

"Ada beberapa kali saya mohon untuk sertai karnival jualan tetapi tidak dibenarkan pihak penganjur kerana saya bukan artis, walhal isteri artis-artis lain boleh pula.

"Tidak apalah mungkin rezeki saya sudah tidak ada di sini dan saya ingin mula hidup baru di kampung. Anak-anak pula saya sedang dalam proses untuk tukar sekolah mereka di sana," katanya.

Untuk rekod, Surianti berkahwin dengan Allahyarham Harun Salim Bachik pada tahun 2000 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Hakeem Sufy Al-Rashid, 14 dan Siti Hazeera Sofea, 12.

Menerusi perkahwinan pertama dengan Martinah Ahmad, Harun memilki empat orang anak namun perkahwinan pertama itu tidak bertahan lama.


Sumber: mStar



         ________________________




No comments: