11 November 2015

TERSINGKIR DARI GV2 - SHEEDA LUAH RASA KECEWA



"Saya Bertanding Atas Dasar Vokal Atau Umur?" Itulah keluhan bintang dangdut, Sheeda, 51, yang juga merupakan salah seorang bintang di program Gegar Vaganza 2 (GV2).

Pada konsert keempat GV2, Sheeda berduet dengan Aweera menerusi lagu 'Tiada Lagi' itu merasakan dirinya sering menjadi bahan ejekan dan diperlekehkan oleh juri mahupun peminat.

Klik gambar untuk size besar




"Sejak mula menyertai Gegar Vaganza lagi, saya tak pernah terfikir saya atau sesiapa sahaja akan terkeluar pada minggu tersebut. Sebaliknya saya sering ingatkan diri sendiri dan rakan-rakan supaya buat yang terbaik dan tidak membuat kesalahan pada malam konsert.

"Saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka, tetapi terkilan dengan komen-komen yang diberikan oleh pihak juri. Saya menyertai Gegar Vaganza atas semangat untuk memeriahkan lagi industri muzik tanah air.

"Seringkali komen faktor usia menjadi bahan ejekan dan ketawa terbahak-bahak. Berjuta rakyat Malaysia menonton, melihat maruah saya diperlekeh sebegitu rupa." luahnya.



Ditebak mengenai komen negatif yang diterimanya sejak minggu lalu selepas menyanyikan lagu NanaSheme berjudul 'Hantu Atau Buaya', Sheeda berkata, dia tidak memikirkan perkara tersebut, namun mengakui kecewa.

"Sejujurnya saya tak baca pun komen-komen di laman sosial termasuk di Instagram mengenai konsert. Tapi bila ada yang mesej personal saya dan minta saya tarik diri serta mencadangkan salah seorang peserta yang telah tersingkir untuk kembali berjuang, saya akui agak kecewa.

"Lebih mengecewakan apabila ada juri memperlekehkan persembahan saya dan tidak memberi komen yang sepatutnya seperti tahap vokal saya, tetapi sebaliknya menyentuh hal yang tidak ada kena mengena. Saya sangat kecewa mengenai perkara itu. Saya bukan penyanyi yang baru setahun dua menyanyi tetapi sudah 20 tahun. Malah untuk pertama kalinya saya mencuba menyanyikan genre lagu yang berlainan daripada dangdut," ujar Sheeda dipetik sebagai berkata.



Sheeda berkata, perkara seperti itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada dirinya. Katanya, artis lama sepertinya sepatutnya diberi penghormatan dan bukannya diperlekehkan sesuka hati.

"Saya percaya mereka ada ahli keluarga perempuan. Cuba bayangkan apa perasaan mereka apabila melihat ibu atau anak atau kakak atau adik mereka diperlekehkan seperti itu di hadapan khalayak. Saya boleh terima jika mereka memberi teguran mengenai vokal seperti yang dilakukan Datuk Ramli MS. Tapi bila komen lain, saya rasa dipersendakan dan dimalukan," jelasnya.

Sheeda berkata, biarpun mendapat pengalaman pahit seperti itu, dia tidak akan sesekali mengalah dengan perjuangannya dalam memartabatkan irama dangdut di Malaysia. Malah dia bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakan.



"Saya bertuah kerana keluarga dan rakan-rakan memberi sokongan padu kepada saya. Walaupun saya tersingkir, tidak bermakna perjalanan karier saya terhenti. Apa yang penting perjuangan saya untuk kembali mengangkat irama dangdut berhasil apabila genre tersebut kembali dimainkan di kaca TV. Bagi mereka yang mengutuk, menghina dan mencerca saya, saya doa ALLAH bukakan pintu hati mereka," katanya.

Di ruangan komen, dapat dilihat beberapa komen daripada beberapa selebriti yang juga merupakan kenalan Sheeda antaranya Liza Abdullah, Ani Maiyuni dan Maya Matahari yang memberi kata-kata semangat pada Sheeda.

Kepada Sheeda yang popular dengan lagu 'Angkat Kaki' itu, kami doakan yang terbaik dan semoga rezeki selepas ini akan bertambah.



         ________________________




No comments: