09 January 2016

AWIE INGIN BINA KEHIDUPAN BARU DI RUMAH BARU



"Saya akan pindah rumah dalam masa terdekat ini dengan anak-anak. Saya mahu mulakan hidup baru di kediaman yang baru kerana sudah tidak sanggup lagi berada di rumah itu.

"Sekarang pun saya kurang balik ke rumah dan tinggal di hotel sahaja terutamanya jika saya rasa tidak selesa," demikian kata Awie, 48, yang bakal meninggalkan rumahnya di Ukay Bistari, Ampang untuk memulakan sebuah kehidupan baharu bersama anak-anaknya.





Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman, keputusan berpindah itu dilakukan sebagai cara terbaik untuk dia melupakan kisah pahit kehidupan rumah tangga yang lalu.

Dalam pada itu, Awie berkata, tahun 2016 ini merupakan permulaan yang baik dan dia mempunyai pelbagai rancangan perniagaan.

Dia perlu bekerja lebih kuat bagi menampung kehidupannya sekeluarga dengan selesa.



"Saya kerja kuat untuk kehidupan anak-anak saya masa depan kami. Setakat ini duit saya banyak habis ke perkara tidak sepatutnya iaitu kos mahkamah.

"Kes yang berlanjutan itu memerlukan kos yang tinggi dan membazir tapi nak buat macam mana. Hakim pun pernah nasihatkan saya agar selesaikan sahaja di luar, tapi ada permintaan rundingan yang tidak masuk akal," ujar Awie dipetik sebagai berkata.

Ditanya mengenai kehidupan berumah tangga, Awie berkata, dia belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga semula dalam tahun 2016 ini. Bagaimanapun dia tidak menutup pintu hatinya menerima kehadiran seorang wanita.

"Saya tiada kawan perempuan yang rapat setakat ini dan belum terfikir untuk berkahwin lagi.

"Tapi, saya tidaklah tutup pintu hati saya, kalau boleh saya ingin seorang wanita yang boleh sayang anak saya lebih daripada diri saya," jelasnya.

Untuk rekod, Awie berkahwin dengan Rozana Misbun, 37, secara rahsia di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha kini tinggal bersama Rozana manakala yang lain berada bersama Awie.


Sumber: mStar



         ________________________




No comments: