15 January 2016

SUAMI ENGGAN LEPASKAN ZAHNITA WILSON



Abd. Backery Ghouse Abd. Gafor, 38, enggan melafazkan cerai kepada model dan pelakon Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 31, dalam prosiding kes penceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam semalam.

Ini kerana suami Zahnita masih lagi mempunyai perasaan sayang dan ingin menyelamatkan rumah tangga yang dibina.

Ahli perniagaan tersebut memaklumkan yang beliau telah mendapatkan khidmat kaunseling dari jabatan agama Islam yang berdekatan dan pihak swasta bagi tujuan tersebut.





Perkara tersebut dimaklumkan di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria dalam sebutan pertama prosiding kes tuntutan perceraian yang difailkan Zahnita, 31.

Alasan Abd. Backery tidak mahu melepaskan (menceraikan) isterinya itu adalah kerana tindakan isterinya yang memohon cerai secara tiba-tiba.

Sementara itu, Abd. Backery memberitahu pemberita, sebelum ini hubungannya dengan Zahnita baik. Namun, Zahnita membuat keputusan untuk keluar daripada rumah mereka pada 13 Disember lalu.



Terdahulu, Zahnita telah memfailkan penceraian kerana mereka tidak lagi mempunyai persefahaman antara satu sama lain dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak 13 November 2015.

Zahnita memfailkan permohonan perceraian itu pada 31 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Selain perceraian itu, Zahnita turut memfailkan tuntutan hak penjagaan anak (hadanah) sementara dan kekal.

Zahnita diwakili peguam syarie, Suriany Awaludin manakala Backery diwakili peguam syarie, Yusfa Haris Yussoff.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 2005 dan dikurniakan dua anak perempuan, Zahrafeena, 9, dan Zasharayna, 3.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Februari ini untuk sebutan semula kes berkenaan bagi lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP).


Sumber: UM



         ________________________




No comments: