26 March 2016

AL-FATIHAH - BEKAS SUAMI SENIWATI SARIMAH AHMAD KEMBALI KE RAHMATULLAH



Bekas suami seniwati Datuk Sarimah Ahmad iaitu Datuk Zulkifli Ahmad meninggal dunia kira-kira pukul 6.40 pagi tadi akibat penyakit tulang belakang yang dihadapinya sejak beberapa tahun lalu.

Datuk Zulkifli Ahmad menghembus nafas terakhirnya di Pusat Perubatan KPJ Damansara pada usia 80 tahun. Berita tersebut telah di sahkan sendiri oleh anaknya, Shahray Zulkifli.

"Ayah meninggal dunia kerana sakit tulang belakang dan beliau baharu sahaja melakukan pembedahan tulang belakang sebulan lalu.

Datuk Zulkifly Ahmad bersama tiga cucunya yang juga anak kepada Shahray




"Saya dapat berita kematian pagi tadi tapi malangnya saya tidak dapat pulang kerana tidak dapat tiket penerbangan pulang ke Malaysia hari ini (Sabtu)," ujarnya yang kini menetap di Brunei.

Tambah Shahray, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, pada pukul 1 tengah hari tadi.

Sementara itu, rakan baiknya, bekas Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar, memberitahu mengenali Allahyarham sebagai seorang yang mempunyai semangat kenegaraan dan aktivis politik.



Tambah Johan, dari sudut peribadi, dia melihat Allahyarham seorang yang sentiasa mencintai bekas isterinya, Sarimah.

"Saya antara rakan dia yang selalu minum dan berkongsi pendapat. Kami selalu bercakap tentang politik dan dia memang seorang yang mempunyai semangat kenegaraan yang kuat.

"Namun begitu dari sudut peribadi dia seorang yang terlalu sayangkan bekas isterinya Sarimah hinggakan ada menerbitkan sebuah buku bertajuk 12 Tahun Bersama Sarimah.

"Selepas bercerai dengan seniwati itu, dia mencari isteri yang betul-betul mempunyai persamaan dengan Sarimah," ujarnya

Untuk info, Allahyarham pernah berkahwin dengan Sarimah dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Norhayati Zulkifli, Farawaheeda Zulkifli, Mohd Jamil Zulkifli dan Mohd Shahray Zulkilfi.

Manakala, Allahyarham turut mempunyai tujuh orang anak daripada perkahwinan yang lain, termasuk penyanyi Farah Asyikin.


Sumber: mStar



         ________________________





No comments: