09 March 2016

KES AWIE PUKUL ROZANA - INGATKAN SELESAI, RUPANYA BAKAL SAMAN MALU



Ramai peminat Awie yang mati-mati ingatkan kes pukul yang melibatkan bekas isterinya Rozana Misbun telah selesai apabila penyanyi berkenaan sudah meminta maaf dan dibebaskan oleh mahkamah.

Artikel terdahulu:
Tetapi rupa-rupanya Rozana bakal menuntut ganti rugi ‘patah hidung’ akibat dikerjakan bintang rock berkenaan. Tambah Rozana, biarpun dia sudah menerima permohonan maaf dibuat penyanyi itu, namun dia tetap akan melakukan langkah seterusnya iaitu saman malu.





"Harus saya tekankan bahawa saya berhasrat untuk menuntut ganti rugi bagi kecederaan kekal yang saya alami dimana hidung saya patah dipukul oleh Awie selain mengemukakan saman malu terhadapnya," ujar Rozana yang dalam proses perbincangan dengan peguamnya untuk tindakan tersebut kerana mendakwa telah difitnah oleh Awie selama ini.

Pada Isnin lalu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, bebas tuduhan memukul Rozana mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan selepas dia bersetuju memohon maaf selain membayar kompaun sebanyak RM10,000 terhadap bekas isterinya itu.

Permohonan maaf dilakukan dalam prosiding di Mahkamah Majistret Ampang.



Bagaimanapun, Awie dalam laporan akhbar pada Selasa berkata, keputusan membayar kompaun dan memohon maaf itu bukan bererti dia kalah sebaliknya ia dibuat selepas mengambil kira masa depannya dan anak-anak jika kes ini terus berpanjangan.

Namun dalam wawancara Mstar Online bersama Rozana, bekas isteri Awie itu menyimpulkan permohonan maaf itu sedikit melegakan dirinya. Tambahnya ia jelas membuktikan kebenaran pada pihaknya yang selama ini dilemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah tidak berasas.

"Ia tidak lebih daripada cubaannya untuk menegakkan benang yang basah. Saya syukur kepada Allah kerana memperkenankan doa saya yang teraniaya ini.

"Saya sudah lama maafkan perbuatan Awie tetapi sebagai manusia bukannya mudah untuk kita melupakan sesuatu peristiwa itu lebih-lebih lagi apabila ia mendatangkan kesan yang pahit.

"Saya mahu hidup dengan tenang agar saya dapat besarkan anak-anak saya iaitu Merrah, Rezzki dan Qasseh tanpa perasaan negatif yang boleh mempengaruhi emosi serta tindak-tanduk mereka di kemudian hari," katanya.

"Saya tahu ramai yang kecewa dengan keputusan saya menerima permohonan maaf Awie malah ada yang kurang senang dengan kompaun RM10,000 itu. Sebenarnya jumlah itu adalah denda maksimum yang diperuntukkan bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun saya mahu tekankan di sini bahawa saya dalam proses perbincangan dengan peguam untuk meneruskan kes sivil yang berkaitan dalam usaha untuk menuntut ganti rugi begi kecederaan kekal yang saya alami ketika ini di mana hidung saya patah akibat dipukul.

"Selain itu saman malu akan saya kemukaan terhadap Awie bagi menjernihkan kembali imej saya yang tercalar teruk di mata masyarakat kesan daripada satu demi satu kenyataan buruk serta tidak masuk akal yang dia berikan kepada media selama ini.

"Saya mahu selepas ini dia mengunci mulut daripada berterusan mengaitkan saya atau mengaibkan saya lagi dalam hidupnya. Cukup-cukuplah," tambah Rozana.



         ________________________





No comments: