12 May 2016

TUDUHAN PECAH AMANAH - YAZIT DIARAH MINTA MAAF SECARA TERBUKA



Yazit Search sebelum ini telah membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju pada 4 Mei lalu berhubung beliau tidak menerima sebarang pembayaran dari kumpulan Search serta berlakunya pecah amanah di dalam kumpulan itu. Malah dakwanya lagi, beliau telah ditengking oleh isteri Amy, Norhasniza Hassan atau Nourish ketika bertanya soal bayaran.

Berikutan dakwaan itu, vokalis kumpulan Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 57, telah menafikan tuduhan tersebut sekaligus menyifatkan ianya sebagai tidak masuk akal.





Maka dari itu, pihak Search telah memberi tempoh selama 48 jam untuk pemain dram kumpulan itu agar menarik balik laporan polis atas dakwaan pecah amanah terhadap kumpulan mereka dan juga menuntutnya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap dakwaan buruk yang dianggap fitnah dan tidak berasas itu.

"Kami memberi tempoh 48 jam untuk Yazit menarik laporan polis yang dibuat pada 4 Mei lalu yang mendakwa terdapat pecah amanah dalam konsert Search 35 tahun yang bakal berlangsung 30 Ogos depan.

"Apa yang dituduh itu tidak berasas sama sekali dan saya menuntut dia meminta maaf secara terbuka atas fitnah berkenaan," ujar Amy pada sidang media yang diadakan semalam.

Dalam pada itu, Amy menjelaskan bayaran pendahuluan yang diterima daripada pihak penaja konsert 35 Tahun iaitu Afjets sebanyak 30 peratus yang dipersoalkan adalah merupakan bajet untuk promosi.

"Kami belum menerima bayaran penuh sebaliknya pendahuluan sebanyak 30 peratus adalah untuk tujuan promosi dahulu.

"Namun, saya difahamkan oleh pihak Afjets sudah memberi dia (Yazit) sebanyak RM10,000 setelah diminta," jelasnya.

Sementara itu, Amy berkata dakwaan Yazit yang ditengking oleh isterinya itu adalah kerana diprovokasi oleh Yazit dengan kata-kata yang kesat. Tambahnya, tindakan isterinya itu merupakan reaksi apabila Yazit menuduhnya sebagai penipu.

"Pada mulanya Yazit menghubungi Nasir, namun Nasir enggan melayan kerana dia telefon untuk marah dan kata-kata kesat.

"Selepas itu, dia menghubungi pula isteri saya untuk bertanya tentang bahagiannya (wang) dan dia menuduh saya dengan macam-macam kata-kata kesat sehingga menimbulkan kemarahan isteri saya yang mendengarnya," katanya.


Sumber: mStar



         ________________________





No comments: