24 June 2016

BERGELAR PENOREH GETAH - MAK MAH SERONOK DAPAT TEMAN SUAMI



"Mula-mula memang tidak tahu bagaimana cara nak menoreh getah, jadi saya belajar dengan suami sehingga saya menangis kenapa saya tidak pandai-pandai.

"Saya berdoa Allah permudahkankan saya untuk pandai melakukannya kerana saya benar-benar mahu menemani suami setiap pagi ke kebun getah. Sekarang suami pula kagum dengan kebolehan saya.

"Menoreh merupakan rutin kami setiap pagi, saya dan suami akan keluar seawal 6.30 pagi dan pulang kira-kira pukul 9 pagi," demikian kata pelakon veteran Ruminah Sidek atau Mak Mah, 70, yang gembira dirinya bergelar penoreh getah sejak dua tahun lalu kerana dapat menemani suaminya, peneroka Felda Jelai, Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 72.





Mak Mah yang melalui pengalaman berharga dalam hidupnya selain menjadi seorang pelakon itu berkata yang dia mengambil masa beberapa minggu untuk belajar menoreh daripada suaminya sehingga benar-benar pandai.

Dalam masa sama, Mak Mah mengakui beliau kini sedang melalui kehidupan baharu yang sangat bahagia sejak mereka berkahwin.

Tambah Mak Mah, dia juga banyak manghabiskan masanya menjalani kerja-kerja yang tidak pernah dilakukan dalam hidupnya sebelum ini.

"Selain menoreh banyak juga perkara baru saya belajar seperti memancing, suami suka memancing di laut jadi dia bawa sekali. Ada suatu hari kami memancing sehingga di sempadan Johor bersama rakan-rakannya," ujarnya dipetik sebagai berkata.

--- IKLAN ---



Sementara itu, lebih menarik tambah Mak Mah, dia turut berasa dihargai apabila sering diundang menjadi tetamu dan memberi ucapan dalam majlis anjuran sekolah-sekolah berhampiran tempat tinggalnya itu.

Dia tidak menyangka kehadirannya mendapat perhatian dan diterima dengan hati terbuka oleh masyarakat Felda berkenaan.

"Sejak berkahwin Mak Mah dan suami banyak mendapat jemputan untuk hadir majlis-majlis penting di kawasan Felda itu termasuk sekolah-sekolah.

"Mereka suruh Mak Mah beri ucapan, malah mereka juga adakan majlis menayangkan filem-filem lama Mak Mah untuk tontonan tetamu dan pelajar-pelajar sekolah itu," jelasnya.



Katanya, sejak berkahwin dia tidak pernah berasa susah hati terutamanya dalam hal menguruskan kehidupan.

"Hati Mak Mah senang sahaja, tidak fikir masalah dan tidak fikir duit cukup atau tidak kerana semua suami yang uruskan. Sampai baju atau keperluan harian lain dia yang uruskan, setiap kali Mak Mah mahu keluarkan duit, dia tidak benarkan," katanya.

Bukan itu sahaja, kata Mak Mah, perkara-perkara berkenaan juga membuatkan berat badannya kini meningkat sehingga 70 kilogram.

"Orang kampung kata Mak Mah sudah berisi sekarang, bila timbang memang sudah 70 kilogram daripada sebelum ini hanya 64 kilogram. Mak Mah ingat sudah tidak boleh gemuk, rupa-rupanya bila hati senang dan gembira badan kita boleh naik juga," tuturnya.



Dalam pada itu, Mak Mah bersyukur kehidupannya kini dianggap sebagai hadiah Allah dalam menghabiskan sisa hidupnya. Dia juga tidak pernah membayangkan dapat menjalani kehidupan sebegini indah pada akhir-akhir usianya.

Sementara itu, bercakap soal kerjaya lakonan, Mak Mah berkata, dia masih menerima tawaran bagi menyokong industri lakonan tanah air. Ini kerana lakonan sudah menjadi darah daging Mak Mah yang tidak akan ditinggalkan begitu sahaja.

"Mak Mah masih sihat dan boleh berlakon, suami juga benarkan Mak Mah berlakon dan dia selalu hantar ke Kuala Lumpur jika ada penggambaran.

"Kadang-kadang nak tolak tapi rasa tidak elok pula sebab mereka beritahu tiada ramai pelakon yang boleh bawa watak nenek. Tapi dalam sebulan selalunya hanya beberapa hari sahaja Mak Mah ada penggambaran," katanya.

Untuk rekod, Mak Mah dan peneroka Felda Jelai, Negeri Sembilan ini bernikah dalam sebuah majlis sederhana di Klang, Selangor pada 17 Mei 2014.


Sumber: mStar



         ________________________





No comments: