02 June 2016

JUARA DANGDUT STAR - RM50,000 MILIK FITRI



Konsert kemuncak Dangdut Star telah berlabuhkan tirainya semalam apabila Fitri atau nama sebenarnya Fitri Hiswady Hasan Nordin, 26, yang berasal dari perak muncul sebagai juara yang melayakkannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 bagi musim pertama rancangan itu.

Selain wang tunai, Fitri turut menerima hadiah berupa pakej percutian ke Sydney, Australia dan trofi sumbangan Astro.

Pada peringkat akhir itu, Fitri menumpaskan tiga peserta lain menerusi persembahan menerusi dua lagu iaitu Mati Hidup Semula nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah dan Matahari (Maya).





Untuk rekod, Fitri pernah bergelar juara pertandingan Bintang Asli RTM 2014 dan peserta keempat teratas program D'Academy Asia Indosiar pada tahun lalu.

Sementara naib juara pula diperoleh oleh penyanyi dangdut era 90-an, Elda Susanty Abdul Malik (Elda), 34, yang membuatkannya memenangi wang tunai RM20,000 serta pakej percutian ke Korea dan juga trofi.

Manakala tempat ketiga dan keempat menjadi milik Muhd Firdaus Mohd Mustapha (Jiwa), 21, dan Mohd Rozaidy Shukry (Roger), 29.





Jiwa telah menerima hadiah wang tunai RM15,000, pakej percutian ke Bali, Indonesia dan trofi. Bagi Roger pula hanya mendapat wang tunai RM10,000 serta trofi.

Kesemua pakej percutian adalah termasuk tiket penerbangan dan penginapan selama lima hari empat malam untuk dua orang tajaan Jamu Mak Dara.

Hadiah telah disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Prima, Farah Zainul diiringi juri tetap penyanyi dangdut terkenal tanah air Mas Idayu dan penulis lirik terkenal Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.



Juara diumumkan oleh hos Dangdut Star pelawak Tauke Jambu dan trio De Fam.

Sistem pemarkahan peserta dibuat sepenuhnya oleh juri tetap berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Mereka diadili oleh juri profesional iaitu Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan Mas Idayu. Manakala Amelina dan Edry Abdul Halim bertindak sebagai juri jemputan pada peringkat akhir

Selain Fitri, Elda, Rojer dan Jiwa enam peserta lain yang turut memberi saingan dalam program Dangdut Star ialah tiga bekas peserta Akademi Fantasia iaitu Felix (Felix Agus, 34), Zizi (Nurfazelah, 31) dan Aishah (Siti Aishah Bujang, 25).

Tiga peserta lain ialah Zarith (Zarith Shuhada Mohd Yassin, 25), Wanie (Azmahirwani Nordin, 26) dan Fiesha (Norerinafisha, 18).


Sumber: Astro Gempak & mStar


         ________________________





No comments: