04 August 2016

"FILEM 'MAWAR PUTIH' TANDA PERPISAHAN SAYA PADA DUNIA SENI" - ROSNANI JAMIL



"Pada usia ini, anak-anak meminta saya berjanji itu saja. Sebenarnya, 'Mawar Putih' ini bukan sekadar naskhah penghargaan untuk arwah suami yang meninggal dunia dua tahun lalu, malah ia menjadi tanda perpisahan dengan dunia seni," demikian kata Seniwati Datuk Rosnani Jamil, 80, yang mengumumkan bersara selepas filem terakhir garapannya, 'Mawar Putih' ditayangkan di pawagam pada 18 Ogos ini.

Setelah hampir enam dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Rosnani yang juga penerbit dan pengarah terkenal berkata, dia mahu meluangkan masa bersama keluarga dan melawat negara orang selepas meninggalkan dunia seni.





"Selepas tayangan, saya harap filem yang mengambil latar kampung kelahiran saya, Padang itu juga dapat dikongsi pula dengan penonton di Indonesia. Usai urusan tayangan, baharu saya fikir rehat.

"Anak sayapun ada yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) manakala cucu pula di London. Jadi ada kelapangan saya mahu ke sana. Selain itu, saudara mara juga ramai di Singapura. Selepas inipun, saya tidak mungkin berlakon lagi," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Filem genre cinta sentuhan isteri kepada sutradara tersohor, Allahyarham Datuk Jamil Sulong itu menyaksikan gandingan Reen Rahim dan pelakon Indonesia, Triestan Aprilian sebagai teraju utama.

___________________________________________________
--- IKLAN ---

BERMINAT UNTUK BERIKLAN DI MYARTIS?   KLIK UNTUK INFO
_____________________________________________________

Selain Padang, filem yang secara keseluruhan membabitkan kos hampir RM1 juta termasuk promosi itu turut mengambil latar Bukit Tinggi, Sumatera. Ini memenuhi impian Rosnani untuk melihat Mawar Putih menembusi pasaran seberang.

"Lokasi pertama yang ingin saya kongsi keindahan budaya dan latar filem ini adalah Padang. Jika dapat kelulusan kerajaan Indonesia dan sokongan FINAS, saya akan usahakan untuk ditayangkan. Jika ala wayang pacakpun saya sanggup," tuturnya.

Sementara itu, Rosnani mengakui 'Mawar Putih' adalah sebuah karya yang menjadi penutup terbaik dalam perjalanan kerjaya pengarahannya selepas kali pertama bergelar sutradara genap 30 tahun lalu menerusi filem 'Mawar Merah'.

Rosnani atau mesra dengan panggilan Mak Nani turut menghasilkan Antara Dua Hati pada tahun 1989 disusuli Memori (1992), Amelia (1996) serta Bicara Hati (2004). Seniwati Datuk Rosnani Jamil bersama karya garapannya, Mawar Putih dan gambarnya sewaktu muda (tengah).


Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments: