14 October 2016

JALANI RAWATAN PULIH SEMANGAT - NADIYA NISAA KINI 'KUAT'



Pelakon Nadiya Nisaa, 31, yang kehilangan anak berusia lapan bulan dalam kandungan pada Julai itu itu mengakui masih terkejut dan bersedih. Katanya, kehilangan tersebut memberi kesan ketara kepada dirinya sehingga dia terpaksa menjalani rawatan memulihkan semangat sepanjang berpantang.

"Bukan keguguran, sebaliknya anak saya meninggal dalam kandungan. Doktor memaklumkan perkara itu ketika saya membuat rutin pemeriksaan.





"Siapa yang tidak terkejut dan sedih hingga keluarga terpaksa sorokkan surat khabar. Mereka tidak mahu saya membaca berita saya kehilangan anak.

"Disebabkan itulah saya tidak dapat menjawab soalan media mengenai perkara ini. Saya sangat sedih dan perlu menjalani rawatan memulihkan semangat ketika berpantang," ujar Nadiya dipetik sebagai berkata.

Reda dengan ketentuan Ilahi, Nadiya tidak patah semangat atau trauma dengan apa yang berlaku. Sebaliknya, Nadiya menjadi lebih kuat dan tabah dalam mengharungi kehidupan.



"Tidak ada apa yang perlu saya ratapi kerana semuanya sudah suratan. Saya terima ujian ini dengan tabah dan perlu menjalani kehidupan seperti biasa.

"Saya tahu kes begini pernah berlaku dan sokongan orang-orang di sekeliling terutama keluarga menguatkan lagi semangat saya," katanya.

Malah, penghijrahannya dengan tampil berhijab bukan disebabkan kehilangan anak yang dikandung, sebaliknya niat yang dipendam sejak Ramadan lalu.



"Saya sudah lama ingin berhijab, tetapi hasrat itu tertangguh sehinggalah saya bulatkan hati untuk berhijab dan pada 12 September lalu. Selepas habis pantang saya tampil berhijab," jelasnya.

Mengenai tawaran berlakon selepas bertudung, Nadiya tidak menganggap ia suatu masalah.

"Saya terima apa saja yang datang kerana rezeki. Sebelum inipun saya banyak melakonkan watak wanita berhijab. Jadi, ini bukanlah masalah bagi saya.

"Soal bersentuhan dalam lakonan bagi saya tidak ada masalah selagi niat kita hanyalah untuk berlakon. Saya fikir pengarah sekarang sudah arif mengenai batas-batas untuk pelakon berhijab. Ini kerana ada pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi mengelak adegan bersentuhan," tuturnya.


Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments: