15 October 2016

LEBIH 10 KALI 'MENINGGAL DUNIA' - AWIE AKUI TAK FAHAM



"Laporan seperti ini sudah lebih 10 kali saya terima. Saya pun tak faham kenapa diri saya sering dikaitkan dengan dakwaan kononnya saya sudah meninggal dunia.

"Perkara ini anasir yang tidak baik dan saya pun tak tahu apa yang pihak tidak bertanggungjawab ini dapat," demikian kata penyanyi rock terkenal, Awie yang kesal apabila terus dipalit dengan laporan mengatakan dia sudah meninggal dunia.

Awie berkata yang dia sudah tidak hairan dengan berita kematiannya yang sering menjadi viral di media sosial sejak akhir-akhir ini.





Ini kerana menurut vokalis utama kumpulan Wings ini, sebelum sudah sering kali dia dilaporkan 'meninggal dunia' oleh netizen termasuk yang terbaharu seperti dilaporkan blog KedaiKopi.org yang mendakwa dia kemalangan di Bandar Sri Perdana, Lahad Datu, Sabah dan menghembuskan nafas terakhir.

Berita palsu kematian terbaharu tersebut telah menjadi viral di laman sosial menyebabkan beberapa artis tempatan turut mendoakan kesejahteraannya.

"Alhamdulillah, saya masih lagi bernafas sehingga hari ini dengan izin Allah. Saya tak tahu apa motif mereka berbuat begitu. Saya dapat rasakan mereka ini seperti disuruh untuk menjatuhkan saya dalam apa jua cara. Apa pun saya yakin Allah sentiasa melindungi. Saya masih bernyawa dan masih mampu tersenyum dengan fitnah yang susah nak diampunkan," katanya.



Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berasa sedih dan terkilan dengan perbuatan segelintir pihak yang seolah-olah tidak serik mengatakannya malah turut terbabit dalam kemalangan maut dan sebagainya.

"Saya tidak tahu apa masalah diorang sama ada saya ada kacau hidup mereka sehingga tergamak mengatakan saya sudah meninggal dunia atau apa. Saya memang tak pasti. Malah, saya juga tidak ada motosikal berwarna biru seperti dalam laporan terbabit. Itu membuatkan saya musykil.

"Saya juga tidak pernah mengenali siapa individu dimaksudkan mereka. Apapun, saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif," ujarnya yang kini berada dalam keadaan sihat dan sedang sibuk dengan majlis perkahwinannya di ibu negara dalam masa terdekat ini.



Menyentuh mengenai berita palsu itu, kata Awie, kali terakhir dia dilaporkan 'meninggal dunia' ialah pada 11 April lalu juga akibat kemalangan jalan raya di Phuket, Thailand. Awie yang baru mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, pada 7 Oktober lalu berkata, dia juga pernah membuat laporan polis berhubungan dakwaan yang sama.

"Bila kerap sangat berita kematian saya ini menjadi viral, saya pernah buat laporan polis, kalau tidak silap tahun lalu atau awal tahun ini. Malangnya tidak ada tindakan seterusnya kerana akaun yang diguna palsu.

"Kalau pihak bertanggungjawab pun tidak boleh nak sekat orang yang buat berita palsu ini, apa lagi saya. Bila setiap kali be­rita palsu tentang kematian saya menjadi viral, saya kasihan de­ngan saudara-mara dan telefon saya pun tidak akan berhenti berdering," tuturnya dalam nada kesal.

Sekalipun sudah lali dengan tohmahan yang dibuat terhadapnya, Awie bagaimanapun tidak akan mendiamkan diri, sebaliknya, akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan lanjut.

Tambah Awie lagi, dia akan membuat laporan polis dalam masa terdekat dan tekad mahu berjumpa dengan individu tidak bertanggungjawab itu dengan apa cara sekalipun.

"Kalau tak puas hati, kita bersemuka. Bincang perkara dengan sebaiknya bukan dengan cara seperti itu. Meniru identiti dan sebagainya sesuatu kurang bijak. Jangan sampai saya belasah mereka. Mari, jumpa dan bersemuka dengan saya," tegasnya.

Laporan 'kematian' Awie menjadi viral sehinggakan akaun Facebook Johan Raja Lawak dikesan berkongsi berita palsu itu di laman sosial itu. Bagaimanapun, isterinya Ozlyn mengesahkan bahawa suaminya tidak memiliki akaun Facebook dan hanya aktif di laman Twitter menggunakan identiti @joherajohera dan Instagram @jozlynnhanania. Sehubungan itu, Ozlyn menafikan laporan 'kematian' Awie itu dikongsi oleh Johan.

"Kami akan mengambil tindakan mengenai hal ini kerana menggunakan nama Johan untuk akaun palsu," jelas Ozlyn ketika dihubungi media.


Sumber: Harian Metro & Utusan Malaysia



         ________________________





No comments: