18 October 2016

"SAYA SUDAH MAAFKAN" - ELLY MAZLEIN



'Peperangan' berakhir!

Demikian halnya dengan penyanyi dan pelakon Elly Mazlein yang tidak mahu 'peperangan' di laman sosial terus berlanjutan. Ini kerana kata Elly, dia kini ingin membuka lembaran baru dalam hidup dan mahu menjadi lebih positif.

"Hidup perlu diteruskan. Saya mahu menutup buku lama dan buka buku baru. Saya sudah dapat apa yang saya mahukan dan ini bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk keluarga. Penderitaan selama ini terbayar dan kali ini, saya benar-benar akan bergerak ke depan.





"Pada saya, bertelagah di Instagram dan satu negara baca mengenainya perbuatan memalukan. Sebelum ini, saya cuba tutup aib serapat-rapatnya. Sejak mengandung lagi, saya sudah kena macam-macam perkara dan hampir meroyan.

"Saya berani untuk lantang bersuara pun adalah untuk menuntut hak saya dan anak daripada bekas suami. Ketika saya berdiam diri, pihak satu lagi pula yang banyak bersuara dan itu membuatkan saya juga tampil bersuara.

"Mujurlah, saya dapat bantuan daripada keluarga yang sentiasa memberi sokongan. Saya tak mahu lagi menoleh ke belakang," kata Elly yang turut memaafkan bekas suaminya, Azmi Hatta dan Faye Kusairi serta semua keluarga bekas mentuanya.



Elly juga memaklumkan selepas ini akan memadam semua gambar berserta status yang bersifat negatif di Instagram kerana mahu menghormati peminat dan pengikutnya.

"Apa yang penting sekarang ialah fokus saya kepada anak, bapa dan kerjaya. Saya mencari rezeki secara bersendirian dan ini dugaan saya juga sebagai anak seni.

"Dengan dugaan begini, sedikit sebanyak saya ambil sebagai penguat untuk jadikan diri manusia yang lebih matang pada masa depan.



"Alhamdulillah, walaupun banyak dugaan, saya bersyukur kerana peminat dan pengikut sentiasa memberikan semangat kepada saya," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Ditanya sama ada dugaan yang berlaku mengganggu perjalanannya sebagai peserta program Gegar Vaganza 3 (GV3), Elly tidak menafikannya.

"Tidak dinafikan, apa yang berlaku sedikit sebanyak menggangu fikiran saya lebih-lebih lagi apabila pertandingan ini juga memerlukan fokus. Namun begitu, saya akan cuba buat yang terbaik.

"Saya tahu, ramai peminat yang rindu melihat persembahan saya di pentas dan ini adalah hadiah buat semua peminat. Doakan perjalanan saya bersama anak serta kerjaya berjalan dengan lancar," jelasnya.

Semoga Elly terus tabah dalam menghadapi dugaan yang mendatang. Tindakan Elly yang memaafkan perkara yang sudah berlalu tidak akan mengubah masa silam namun pastinya mempermudahkan dirinya menghadapi masa hadapan.


Sumber: Harian Metro



         ________________________





No comments: