28 November 2016

ALAMI BENGKAK JANTUNG, JANGKITAN KUMAN - WAN MAIMUNAH RASA TERPINGGIR



Seniwati Wan Maimunah yang kini dirawat di Hospital Jasin, Melaka selepas mengalami bengkak jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru menitiskan air mata ketika menerima kunjungan Timbalan Presiden, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zulkifli Mohamad, 50, bersama Zuraini Kasim.

Ini kerana Wan Maimunah tidak menyangka ada pihak yang masih mengingatinya dan sudi meluangkan masa melawat dia yang kini sedang sakit.





Ketika melawat seniwati itu semalam, Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Zack, bekas anggota kumpulan Kool telah menyampaikan sumbangan bagi pihak Seniman kepada Wan Maimunah.

Menurut Zulkifli, Wan Maimunah atau nama sebenarnya Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 63, dimasukkan ke hospital itu beberapa hari lalu selepas mengalami sakit dada.

"Kak Wan sebelum itu sudah mendapatkan rawatan di beberapa hospital namun penyakitnya gagal dikesan sehiggalah pihak Hospital Jasin mengesyaki dia menghidap sakit berkenaan," katanya ketika dihubungi.



Zulkifli berkata, pihak Seniman mendapat tahu berita itu beberapa hari lalu dan terus memutuskan melawatnya pada Ahad untuk bertanya khabar dan memberi sedikit bantuan.

Tambah Zulkifli lagi, dalam pertemuan itu Wan Maimunah menceritakan sebelum ini dia berada di Mekah selama sebulan sebelum pulang dan tinggal bersama anak angkatnya di Sungai Udang, Melaka.

Katanya, Wan Maimunah sering mengalami sakit dada sehinggalah dia ditahan di hospital itu ketika mendapatkan rawatan.

"Dalam pertemuan itu Kak Wan turut meluahkan perasaan sedih apabila dia tidak lagi mendapat tawaran berlakon sejak kebelakangan ini dan berasa seolah-olah dipingirkan," ujarnya yang turut berkata bahawa pihak Seniman akan memantau keadaan kesihatan pelakon itu dan memberi bantuan sewajarnya jika keadaan memerlukan.

Sementara itu, Wan Maimunah yang dihubungi malam semalam meminta maaf tidak dapat untuk ditemubual kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

"Minta maaf ya 'anak'... Kak Wan tak boleh nak bercakap, letih sangat ni. Nanti-nantilah ya. Minta maaf sangat ya," pintanya.

Dalam kerjaya seni, Wan Maimunah banyak berlakon dalam drama dan filem tempatan termasuklah berkebolehan membawakan watak komedi dan antagonis.

Dia pernah memenangi kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lima tahun berturut-turut dari 1992 sehingga 1996.

Pada tahun 2002, dia memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin menerusi drama Rumah Di Tengah Sawah.

Wan Maimunah pernah gagal dalam beberapa perkahwinannya termasuklah dengan usahawan dari Johor iaitu Makpol Saimon, 57.

Mereka berkahwin pada 14 Disember 2013 di sebuah hotel di Johor Baru dan bercerai pada April 2015 tanpa berkongsi sebabnya.


Sumber & foto: mStar



         ________________________





No comments: