03 November 2016

KODI RASHEED BERSYUKUR ISTERI HAMIL LAGI SELEPAS KEGUGURAN



Mengubat kedukaan lalu!

Demikian halnya dengan bintang 'Ophilia', Kodi Rasheed apabila isterinya, Nor Fatihah Mahad, kini kembali hamil selepas mengalami keguguran Mei lalu.

Pelakon yang berusia 26 tahun itu memaklumkan, usia kandungan isteri kesayangannya itu kini sudah mencecah 10 minggu.





"Saya bagaimanapun reda dengan dugaan yang kami tempuhi dulu. Sebagai hamba-Nya, saya percaya kita akan sentiasa diuji.

"Berita isteri keguguran dulu, umpamanya, saya terima sekitar waktu Maghrib. Beberapa jam selepas itu pula, saya dikhabarkan dengan kemenangan saya pada malam pertama Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016. Ketika itu saya berada di Perak bagi menjalani penggambaran telefilem, Aku Bukan Rasul.

"Keesokannya, saya pulang untuk melawat isteri di rumah. Saya juga berkesempatan menghadiri malam kemuncak ASA 2016 pada hari sama," kata Kodi.



Pada acara anugerah itu, Kodi atau nama penuhnya Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed diumum sebagai pemenang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Drama Terbaik bagi telefilem, 'Lorong Kecil Ke Syurga'.

Tahun lalu, pada Festival Filem Malaysia ke-27, beliau mengungguli kategori Pelakon Harapan Lelaki Terbaik hasil persembahannya dalam 'Ophilia'.

Kedua-dua kejayaan itu diraih menerusi lakonannya dalam naskhah arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.



Bercerita mengenai kerjaya seninya, Kodi yang baru dua tahun membabitkan diri dalam lakonan berkata, selain filem KL Wangan, beliau juga berpeluang berlakon telefilem, Mati Tunggu Sekejap, sentuhan pengarah Rashid Sibir. Telefilem berkenaan sudah pun menemui penonton Astro Oasis, baru baru ini.

"Saya memang sudah lama teringin berlakon di bawah arahan Rashid Sibir. Akhirnya, ia menjadi kenyataan. Saya juga menerima tawaran itu tanpa berfikir panjang.

"Lebih bertuah apabila saya dapat bergandingan dengan nama besar seperti Ziana Zain, Nasha Aziz dan Adibah Noor. Ia sememangnya peluang yang datang tanpa disangka," ujarnya sambil berkongsi pengalaman indah dapat makan semeja dengan artis terkenal pujaannya.

Selain lakonan, Kodi juga bakal mencuba bakat di bidang pengacaraan apabila diberi peluang mengendalikan program bercorak Travelog, Snap, tidak lama lagi.

Untuk rekod, Kodi selamat dinikahkan dengan Fatihah di kediaman wanita tersebut di Selayang, pada 31 Ogos tahun lalu.


Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments: