17 November 2016

LAGU MINGGU 'ROCKDUT' - NORA NAFI MINTA DITUKARKAN



Kecoh di laman sosial apabila lagu yang bakal dinyanyikan oleh penyanyi Nora Ariffin pada minggu keenam Gegar Vaganza 3 (GV3) bertemakan Rockdut itu telah ditukarkan.

Nora sepatutnya membawa dangdut iaitu 'Rindu' namun dalam senarai terbaru yang dikeluarkan pula, Nora diberikan lagu lain iaitu lagu rock, 'Bring Me To Life' nyanyian asal Evanescence.





Perkara itu menjadi isu apabila ramai yang telah mengecam tindakan Nora tersebut yang dianggap sebagai tidak adil untuk peserta lain. Jika Nora boleh menolak lagu yang awalnya diberikan, tentu para peserta lain pun boleh juga.

Pun begitu, Nora ketika dihubungi berkata menjelaskan bahawa bukan dirinya yang meminta lagu itu ditukarkan, sebaliknya pihak Astro sendiri.

Ini kerana kata Nora, kekeliruan itu timbul disebabkan salah faham dan kesilapan teknikal daripada pihak produksi terbabit.



"Sejak awal lagi, semua peserta diberi peluang untuk menyenaraikan lagu pilihan masing-masing daripada pelbagai genre muzik. Walaupun tidak dinyatakan lagu yang bakal kami nyanyikan secara terperinci, mereka ada memberikan bayangan supaya kami dapat melakukan persiapan, termasuk konsep persembahan dan pakaian.

"Dalam hal ini, saya diberi bayangan akan menyanyikan lagu rock, jadi saya sudah pun membuat persediaan. Apabila diumumkan saya akan menyanyikan lagu Rindu, sudah tentu saya terkejut.

"Sebaik saja saya bertanyakan hal itu kepada pihak produksi, mereka mengaku ia kesilapan teknikal, lantas menukarnya kepada lagu yang berada dalam senarai pilihan saya," terang Nora.



Menurut penyanyi berusia 43 tahun ini, beliau perlu membuat penjelasan bagi memperbetulkan tanggapan netizen yang mendakwa penukaran lagu itu dibuat berikutan dirinya tidak berani menyahut cabaran, selain bimbang genre dangdut mampu membuatkannya tersingkir daripada program realiti popular itu.

"Saya tiada masalah untuk menyanyikan lagu dangdut. Malah, perkara pertama yang menerpa dalam fikiran ketika diumumkan bakal menyanyikan lagu berentak dangdut adalah saya harus tukar konsep pakaian yang sudah direka lebih awal.

"Kalau betul pihak Astro mahu saya menyanyikan lagu Rindu, saya tetap akan menyanyikannya kerana ia adalah tugasan. Lagipun lagu Amelina memang ada dalam senarai pilihan saya. Cuma, saya akan menyampaikan lagu itu dengan gaya yang bersesuaian dengan imej saya hari ini," jelasnya lagi.


Sumber: Berita Harian
Foto: Nora Ariffin IG & FB



         ________________________





No comments: