27 December 2016

3 GAMBAR - SELAMAT BERTUNANG, ANAK JINS SHAMSUDDIN NIKAH APRIL 2017



Putera Hang Nadim, 25, yang merupakan anak bongsu kepada tokoh filem Melayu tersohor, Tan Sri Jins Shamsuddin, 81, meluahkan rasa syukurnya apabila akhirnya bertemu dengan gadis yang memahami keadaan keluarganya.

Ini kerana pada Sabtu lalu, Hang Nadim telah mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Norfarahin Attiqah Nasarudin, 25, di kediaman keluarga perempuan di Senawang, Negeri Sembilan.





Jins dan isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, 57, turut hadir dalam rombongan meminang bersama 20 anggota keluarga pada jam 1 tengah hari.

Pada majlis ringkas itu, tunangnya yang juga kakitangan syarikat swasta, menerima tiga dulang hantaran, berbalas lima dulang.

Nadim yang sedang menjalani latihan amali dalam bidang kejuruteraan teknologi di Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tunangnya, merancang bernikah dan mengadakan majlis resepsi di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, April depan.



"Hati saya terpikat dengan sikap Norfarahin yang boleh menerima saya dan keluarga. Saya adalah anak bongsu, tanggungjawab saya amat besar pada keluarga, lebih-lebih lagi ayah kurang sihat dan memerlukan perhatian.

"Saya suka dengan sikapnya yang mementingkan hubungan kekeluargaan. Mungkin, dia memiliki adik-beradik yang ramai, jadi dia memahami situasi saya yang selalu bersama keluarga," katanya.

Kata Nadim, beliau memilih Kompleks FINAS kerana ia hampir dengan kediaman keluarga.

"Lagipun, ayah sudah tidak larat dan bertambah uzur. Kami tidak mahu kesihatannya terganggu nanti," jelasnya.



Dalam masa sama, Nadim berkata, beliau ingin berkahwin cepat walaupun belum menghabiskan pengajian kerana mahu ayah menyaksikan hari bersejarah itu.

"Saya lihat ayah semakin uzur dan tidak berdaya, walaupun tiada penyakit. Ingatannya pula memang sudah lama terhakis.

"Saya mahu ayah melihat saya berkahwin. Walaupun ayah tidak lagi mengingati apa-apa, kehadirannya amat bermakna buat saya," ujarnya dipetik sebagai berkata.


Sumber & foto: Berita Harian



         ________________________





No comments: